Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,636

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Atlet Wakili Sabah Di Sukma Diingatkan Terap Semangat Sukan Tinggi

sabah

KOTA KINABALU : Atlet Sabah yang mewakili negeri ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-18 di Sarawak diingatkan supaya menerapkan disiplin dan semangat kesukanan tinggi dalam apa juga acara sukan yang disertai.

Mengingatkan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman juga mahu semua atlet mempunyai keyakinan dan semangat juang untuk mencapai kemenangan sekaligus merealisasikan sasaran 40 pingat emas pada temasya sukan itu.

“Sasaran tahun ini ialah 40 pingat emas. Itu bukan satu perkara mustahil. Jika ada kekuatan, keyakinan, kesungguhan dan semangat kesukanan tinggi, saya percaya para atlet mampu beroleh kejayaan,” katanya berucap pada majlis penyerahan bendera negeri Sabah kepada kontinjen Sukma Sabah hari ini.

Terdahulu, Musa menyerahkan bendera negeri itu kepada Ketua Kontinjen Sukma Sabah Datuk Masiung Banah yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah di Kompleks Sukan Likas di sini.

Dalam pada itu, Musa mengingatkan para atlet yang mewakili negeri supaya sentiasa menjaga imej dan nama baik negeri Sabah sepanjang temasya sukan itu berlangsung.

“Sebagai atlet Sabah yang mewakili negeri, para atlet adalah duta kecil Sabah. Oleh itu, jaga imej dan nama kita,” katanya.
Pada kejohanan yang bakal berlangsung bermula 22 Julai ini, Sabah menghantar seramai 335 atlet bagi menyertai 21 daripada 24 jenis sukan yang dipertandingkan.
— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan