Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aspek keselamatan dipertingkat

aspek keselamatan

Beberapa perkara yang melibatkan aspek keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) akan diberi tumpuan dan dipertingkat bagi memastikan keselamatan rakyat terus terjamin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, antara yang diberi tumpuan utama adalah memperbesar Pusat Tahanan Sementara (PTS) bagi membolehkan ia menempatkan lebih ramai tahanan.

Katanya, meskipun PTS sedia ada mampu menampung sehingga 6,000 orang, namun bilangan pendatang tanpa izin yang ditahan menerusi operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang tinggi dilihat memerlukan penempatan lebih luas.

“Kita melihat lebih ramai pendatang asing ditahan menerusi operasi yang dijalankan oleh Esscom. Berikutan itu, kita memerlukan PTS yang lebih besar bagi menampung bilangan yang lebih ramai.

“Saya akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempercepat kerja-kerja memperbesar PTS yang sedia ada,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pulau Bakkungan Kecil di sini Isnin lepas.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada aspek logistik dan penempatan berikutan pertambahan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan Esszone.

Sementara itu, ketika melawat Pulau Selingan, Shahidan turut memberitahu kehadiran anggota keselamatan telah membantu memulihkan sektor pelancongan di pulau-pulau yang terletak dalam kawasan Esszone.

Katanya, berdasarkan makluman daripada Esscom, bilangan pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau di kawasan terlibat kini dianggarkan lebih 700 orang sehari dan ada masanya mencecah 900 orang.

“Jumlah itu hampir mencecah lebih 1,000 orang seperti yang direkodkan sebelum ini. Dan, ia jelas menunjukkan sektor pelancongan di timur Sabah kian pulih,” jelasnya.

Menurut beliau, apa yang lebih penting adalah sikap dan tanggapan orang ramai terhadap jaminan keselamatan mereka ketika bercuti di pulau-pulau di kawasan Esszone.

 

 

Selain itu katanya, operator pelancongan juga perlu memainkan peranan yang penting dan mereka sendiri rasa selamat untuk membawa pelancong masuk ke pusat pelancongan mereka.

Komen


Berita Berkaitan