Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Arahan Perintah Berkurung Tidak Jejas Pendapatan Nelayan Di Sabah – Yahya

nelayan

KOTA KINABALU — Arahan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah tidak menjejaskan pendapatan kira-kira 20,000 golongan nelayan termasuk 10,000 nelayan tradisional di daerah berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata para nelayan khususnya nelayan tradisional di pantai timur boleh memohon permit kebenaran keluar ke laut daripada Ketua Polis Daerah (KPD) untuk melalui kawasan itu bagi meneruskan punca pendapatan mereka di laut.

“Mereka boleh menjalankan kegiatan perikanan seperti biasa jika memohon permit keluar ke laut daripada pihak polis berhampiran. Lagipun, perintah berkurung bermula dari jam 6 petang sehingga 6 pagi.

“Jika terdapat nelayan keluar malam, mereka boleh menunjukkan permit yang sah untuk kebenaran keluar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kuih raya kepada pasukan keselamatan di Wisma Pertanian, di sini Isnin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata arahan perintah berkurung selama 14 hari itu sebagai suatu ukuran untuk menjalankan penguatkuasaan yang lebih baik bagi mengekang aktiviti pencerobohan dan penculikan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tg Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau berkuat kuasa Sabtu lepas hingga 2 Ogos ini.

Jalaluddin dilaporkan berkata nelayan laut dalam yang mungkin terpaksa keluar menangkap ikan pada waktu malam boleh memohon permit daripada KPD untuk melalui kawasan perintah berkurung, namun mereka tidak dibenarkan menangkap ikan di kawasan perintah berkurung.

Pada majlis itu, Yahya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Petagas menyerahkan kuih raya kepada pasukan polis, bomba, dan tentera yang bertugas di Lok Kawi, Penampang dan Putatan.

Sementara itu, Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Teo Chee Kang berkata keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah berkurung serta mewujudkan laluan yang ditetapkan di perairan Pantai Timur Sabah adalah pendekatan yang sesuai bagi memastikan keselamatan di kawasan tersebut lebih terjamin.

Sambil menyambut baik langkah itu, beliau berkata selaku anggota parti komponen Barisan Nasional, Parti Liberal Demokratik (LDP) memberi sokongan padu terhadap pasukan keselamatan negara.

“Perintah berkurung itu bukan perkara mudah dari Sandakan yang melibatkan enam daerah lain sehingga ke Tawau,” kata Teo ketika berucap pada majlis penyerahan kuih raya LDP di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, Isnin.

Teo yang juga presiden LDP berkata rakyat Sabah seharus meyakini kewibawaan pasukan keselamatan dan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) termasuk pelantikan Jalaluddin sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu dapat memantapkan strategi keselamatan di negeri ini.

Beliau berkata pengorbanan serta komitmen anggota keselamatan khususnya polis menjaga keamanan negara sepanjang musim perayaan amat dihargai dan disanjung tinggi.

“Kami berharap acara tahunan penyerahan kuih raya ini akan diteruskan pada masa akan datang dan ia dapat menyuntik semangat pasukan keselamatan negara bertugas semasa perayaan,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan