Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

APMM TINGKAT RISIKAN DI MIRI DAN LAWAS, ‘TEMPAT PANAS’ PENYELUDUPAN DI SARAWAK

apmm

KUCHING, 9 Jan : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menekankan aspek risikan dalam usaha membanteras gejala penyeludupan dengan lebih berkesan.

Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata strategi risikan ternyata lebih banyak membuahkan hasil dalam membanteras kegiatan itu.

Beliau berkata dalam beberapa kejayaan sebelum ini, pegawai penguat kuasa akan menyamar sebagai pemancing untuk mengintip bot-bot yang mencurigakan dan penyeludup akan dicekup semasa mereka leka memunggah barang.

Katanya strategi itu membawa kejayaan di beberapa tempat yang dikenal pasti sebagai ‘tempat panas’ di Sarawak iaitu sekitar Lawas dan Miri, yang membabitkan penyeludupan barang-barang seperti rokok dan arak.

“Contoh di sekitar Lawas, penyeludup biasanya akan menyusup masuk melalui sungai, dan di sini kita tempatkan pegawai yang menyamar sebagai pemancing. Di Miri pula kita bekerjasama dengan banyak pihak, termasuk kalangan nelayan tempatan dan juga maklumat risikan daripada APMM Labuan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai rondaan APMM semasa keadaan laut bergelora dengan angin kencang ketika ini, Ismaili berkata dalam setiap keadaan, pihaknya tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan tugas meronda kawasan perairan yang diamanahkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia sejak semalam mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Tioman, Bunguran, Kuching (Sarawak), Labuan dan Sulu, yang dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Ismaili berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pihaknya adalah setiap masa perlu ada enam kapal APMM sama ada bagi tujuan meronda atau bersiap sedia untuk digerakkan ke mana-mana sahaja bagi menjayakan tugas dan tanggungjawab.

Malah, menurutnya pada 31 Dis tahun lepas semasa orang ramai menyambut ketibaan tahun baharu, pihaknya menahan dua bot nelayan dari Vietnam kira-kira 24.6 batu nautika dari Tanjung Sipang dekat sini yang didapati menangkap ikan secara haram di perairan negara, dan menahan dua kapten serta 25 anak kapal bagi membantu siasatan.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan