Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

APMM Tahan 12 PATI Cuba Seludup Masuk Ke Tawau

9:40am 15/08/2016 Pak Roshan 319 views Jenayah,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana cuba memasuki negara ini secara haram, semalam.

Pengarah APMM Tawau Kapten Maritim Anor Jaafar berkata kesemua PATI berkenaan ditahan kira-kira 11 pagi selepas bot yang dinaiki mereka ditahan sepasukan anggota APMM yang sedang membuat rondaan Op Pluto di sekitar kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tekong warganegara Malaysia bersama 12 orang dipercayai warga Indonesia berada di atas bot. Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dewasa berumur antara 18 hingga 56 tahun dan dua wanita dewasa berumur 16 dan 44 tahun serta seorang kanak-kanak berusia 10 bulan,” kata Anor dalam kenyataan di sini hari Ahad.

Katanya pemeriksaan awal mendapati kesemua penumpang yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Anor berkata kesemua mereka kini direman untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Di sini saya juga ingin menasihati warga Indonesia yang ingin masuk atau keluar dari Malaysia agar menggunakan laluan yang sah iaitu pintu masuk yang telah diwartakan dengan membuat proses dokumentasi mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya.

Anggota APMM katanya akan meneruskan operasi bagi membendung dan membanteras PATI yang menggunakan laluan laut untuk keluar dan masuk ke Tawau.

Justeru, APMM meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat melalui talian 24 jam MERS 999 atau Hotline APMM Tawau di talian 089-750116/ 089-752115.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan