Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

APMM Minta Bantuan Komuniti Maritim Kesan Pemancing Hilang

 

KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan memohon bantuan Komuniti Maritim di sekitar perairan Pulau Tiga, Sabah untuk mengesan seorang pemancing bersama sebuah bot pam yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing sejak petang 9 Jan lalu.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pemancing yang dikenali sebagai Abdul Molah Mansol, 46, dari Pulau Gaya keluar memancing pada jam 5.30 pagi pada tarikh berkenaan dan sepatutnya kembali pada petang hari sama namun sehingga kini kelibatnya belum kelihatan.

“Sejurus menerima laporan, aset APMM dari Daerah Maritim Kota Kinabalu iaitu Bot Maritim Pengawal 38 telah ditugaskan melaksanakan pencarian awal berhampiran lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika barat laut Pulau Sulug namun sehingga kini mangsa serta bot berkenaan masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya bot yang digunakan mangsa adalah berwarna putih, merah dan hitam serta bersaiz 12×3 kaki.

Mohd Zubil berkata hari ini operasi pencarian mangsa diperluaskan ke kawasan perairan sehingga Pulau Tiga yang merangkumi keluasan 50 batu nautika persegi dengan menggunakan dua kapal APMM, sebuah bot Taman-Taman Sabah dan dua bot nelayan.

Sementara itu, Mohd Zubil menasihatkan semua komuniti maritim, persatuan nelayan, persatuan memancing serta individu agar lebih berhati-hati ketika ke laut pada waktu cuaca yang tidak menentu ini.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan pemancing itu agar memaklumkan kepada bilik operasi 24 jam APMM Kota Kinabalu di talian 088-387845 atau MERS 999.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan