Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,711

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

APMM Dapatkan Bantuan Nelayan Kudat Cari Bot Di Dalam Laut

3:28pm 09/05/2016 Pak Roshan 243 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

apmm-600x366

KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapatkan bantuan persatuan nelayan Kudat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi bot yang dijumpai tersangkut pada pukat nelayan semalam sebelum terjatuh semula ke dalam laut.

Bot itu yang dinaiki empat individu karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Kudat pada 2 Mei lepas.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata sebuah bot nelayan pukat tunda yang berupaya menarik pukat tunda pada kedalaman 100 meter akan mula menarik pukat di kawasan berkenaan tengah hari ini.

“Pagi ini penyelaman dibuat bermula 7.30 pagi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) namun sehingga kini belum menjumpai apa-apa. Jarak penglihatan di dalam air cuma lima meter dan dasar laut pula berlumpur dengan ketebalan satu meter.

“Jadi agak sukar penyelam dari TLDM untuk membuat pengesanan,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Empat mangsa yang hilang dalam insiden itu ialah pasangan suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Tommy Lam Wai Yin, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Semalam, sebuah daripada enjin bot berkenaan dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, namun sebuah lagi enjin 3 kuasa kuda beserta bot terjatuh semula ke dalam air semasa pukat itu ditarik naik oleh nelayan.

Alen Lam, adik Tommy, kemudian mengesahkan enjin 3 kuasa kuda yang dijumpai itu adalah enjin bot yang hilang berdasarkan diskripsi pada enjin.

Mohd Zubil berkata sekiranya bot berkenaan dapat dibawa naik dari dasar laut hari ini, ia akan membantu penyiasatan pihak berkuasa mengenai pelbagai kemungkinan yang menimpa bot dan empat individu yang berada di atas bot berkenaan semasa ia karam.

Beliau berkata keluarga pelancong warga Sepanyol itu datang menemuinya di pejabat APMM di sini pagi ini dan mereka diberi taklimat tentang usaha pihak berkuasa Malaysia untuk mencari mangsa.

Katanya keluarga pasangan suami isteri itu berpuas hati dengan usaha dilakukan pihak berkuasa Malaysia dan mengucapkan terima kasih kepada APMM serta kerajaan Malaysia amnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Kudat Johnny Wong menasihatkan kira-kira pengusaha 100 bot nelayan komersial di daerah berkenaan agar memberi kerjasama penuh kepada anggota SAR dengan melaporkan sekiranya menjumpai sebarang objek luar biasa di laut.

Katanya apabila terjumpa objek seperti itu, nelayan dinasihatkan agar tidak meninggalkan kawasan itu sehinggalah anggota keselamatan tiba bagi memudahkan tugasan SAR.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan