Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Aplikasikan strategi Sun Tzu dalam menangani kes penculikan

6:58pm 24/08/2016 Leolerry Lajius 75 views Jenayah,Kota Kinabalu,Tempatan

KOTA KINABALU: Strategi perang yang diperkenalkan oleh Sun Tzu jika diaplikasikan dilihat mampu menyelesaikan kes penculikan yang berlaku di negeri ini.

Menurut Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor, Sun Tzu melalui hasil penulisannya yang bertajuk ‘The Art of War’ menyatakan dalam apa-apa peperangan seseorang pemimpin bukan sahaja perlu tahu mengenai pasukannya malah perlu mengetahui mengenai pasukan musuh secara terperinci.

“Sehubungan dengan itu untuk menangani kes ini, pasukan keselamatan harus mengetahui dengan lebih mendalam mengenai dalang di sebalik kes berkenaan agar dapat mengambil tindakan penyelesaian sesuai dengan maklumat yang telah diperolehi.”

“Pasukan keselamatan di negeri ini juga harus mempunyai kesepakatan antara satu sama lain serta kesepakatan dengan pasukan keselamatan di negara jiran agar dapat berkongsi maklumat mengenai kumpulan penculik ini,”katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak memandang ringan ancaman kumpulan militan Daesh yang menjadi isu besar di seluruh dunia pada masa kini.

Berbeza dengan ancaman gerakan-gerakan militan sebelum ini, Daesh dianggap lebih berbahaya kerana menggunakan media sosial untuk mempengaruhi dan merekrut ahli baharu termasuk mengeluarkan arahan untuk melakukan serangan.

“Isu ini tidak sama dengan isu komunis yang menghantui negara kita suatu ketika dulu kerana ia bukan ditubuhkan di dalam negara kita tetapi dari luar negara.”

“Golongan belia merupakan antara sasaran utama kumpulan ini dengan memanipulasi minda mereka dan turut diarah untuk melakukan keganasan,”katanya.

Menurut Abdul Rahim, sikap ibu bapa yang tidak ambil peduli mengenai tabiat ganjil anak-anak mereka, kurangnya asas agama serta sifat yang lebih suka menyendiri merupakan antara faktor golongan belia ini mudah terpengaruh dengan kumpulan militan ini.

Tambah beliau, antara langkah untuk memulihkan individu yang terpengaruh dengan kumpulan militan ini adalah dengan mengasingkan mereka dari khalayak ramai dan menerapkan nilai-nilai agama serta meyakinkan mereka bahawa ajaran kumpulan ini adalah songsang dan tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam.

“Ketika zaman komunis dulu kita menggunakan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi memulihkan individu yang terpengaruh dengan fahaman komunis kerana ISA ini mempunyai unsur-unsur yang menggerunkan,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/SayangSabah

Abdul Rahim (kanan) ketika sidang media berkenaan.

Abdul Rahim (kanan) ketika sidang media berkenaan.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan