Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aplikasi RakanMET Platform Lapor Fenomena Cuaca

KOTA KINABALU – Orang ramai kini boleh melaporkan dan berkongsi maklumat mengenai kejadian dan fenomena cuaca termasuk bencana alam dari semasa ke semasa menerusi aplikasi RakanMET, aplikasi terbaharu dilancarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), hari ini.

Menterinya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata aplikasi atas inisiatif kementerian menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) itu dibangunkan bagi memudahkan orang ramai melaporkan kejadian berkaitan keadaan cuaca di kawasan mereka menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Beliau berkata RakanMET, aplikasi kedua dibangunkan selepas MyCuaca, adalah usaha memperkasa sistem penyampaian maklumat kepada masyarakat kerana ia turut berperanan sebagai medium komunikasi dua hala antara orang awam dan jabatan bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat.

“Ini aplikasi berasaskan laman sesawang. Orang ramai cuma memuat naik info keadaan cuaca di satu-satu tempat dan setelah itu pegawai (bertugas) akan menapis maklumat itu bagi memastikan kesahihannya kerana kita tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab memuat naik maklumat tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2018 dan melancarkan aplikasi RakanMET di Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah JMM Alui Bahari dan Pengarah JMM Sabah Azemi Daud.

Tangau berkata kerajaan melaksanakan beberapa projek untuk memperkasa sistem amaran awal cuaca merangkumi model tinjauan cuaca dan sistem penyediaan maklumat cuaca dalam memantapkan kesiapsiagaan negara menghadapi cuaca ekstrem.

Mengenai Hari Meteorologi Sedunia 2018, beliau berkata sambutan bertemakan ‘Siap siaga cuaca, pintar-iklim’ itu menekankan kepentingan pengetahuan dan kefahaman masyarakat mengenai cuaca dan iklim dalam memastikan mereka sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang fenomena atau bencana.

Pada majlis itu, Tangau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JMM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam bidang meteorologi, iklim dan geofizik.

JMM diwakili Alui manakala UPM oleh Naib Canselornya Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris. – BERNAMA

 

 

Komen


Berita Berkaitan