Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,803

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Apakah Hikmah Allah Datangkan Dugaan, Cubaan Dan Ujian

3:27pm 25/11/2016 Zakir Sayang Sabah 114 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Setiap hamba Allah yang hidup di muka bumi pasti berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan. Ujian yang diturunkan oleh Allah pasti berbeza, tetapi atas sebab yang sama.

Di saat kesedihan dan hampa dalam menempuhi dugaan itu, sudah pasti kita hampir tewas dan tertanya dengan kesal, mengapa ujian berat itu diturunkan kepada kita? Bahkan mengapa ujian tersebut begitu berat sekali?

Sebagai hamba Allah yang lagi tidak berupaya, wajar diambil ujian itu dengan hikmah walau sesulit manapun ia.

Allah SWT mempunyai alasan tersendiri dalam merencanakan hal yang terbaik untuk setiap umatnya. Tidaklah Allah jadikan sesuatu kejadian itu dengan sia-sia tanpa apa-apa rahsia tersendiri, hatta hikmah sehelai daun buruk yang luruh dari pohon yang telah mati.

Kadang-kadang kita lupa, Allah sebenarnya rindu kepada rintihan hambanya yang mungkin sudah lama melupaiNya. Bahkan alpa untuk mengadu masalah dan tempat kita bergantung segala.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi?”

Al-Ankabut: 2

Sebenarnya, terdapat begitu banyak hikmah dan sebab Allah menurunkan ujian kepada hambanya, iaitu:

1- Sebagai Penguji Kesabaran

Allah ingin menguji dan mengukur sejauh mana ketabahan manusia. Sama ada tergolong dalam golongan sabar atau hambanya yang sering berputus asa. Sesungguhnya mereka yang lulus adalah yang sabar dan reda, bukan bersedih dan meratap.

Firman Allah;

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Al-Baqarah: 155

2- Menguji Keimanan HambaNya

Allah SWT ingin mengetahui gerangan hambanya yang masih teguh akidah dan imannya melalui ujian yang diberikan. Sesiapa yang tidak mempunyai keimanan kuat pasti tidak berkesabaran tinggi, lalu mencari jalan penyelesaian lain yang menyimpang daripada ajaran Allah SWT, seperti mempercayai jin dan berbuat syirik.

Bagi golongan yang memiliki keimanan yang tinggi, sudah tentu akan menyerahkan semua keadaan dan penyelesaian kepada Allah. Bahkan bersedia dengan ujian mendatang.

Ada juga dalam kalangan manusia yang beriman tetapi masih tewas apabila berhadapan dengan ujian. Lalu ujian ini juga sebagai alat untuk menguji sejauh mana keimaan itu dapat bertahan, sama ada akan runtuh atau semakin bertambah. Jadi, berpeganglah pada prinsip ‘Allah menurunkan ujian kerana Dia sayang kepada hamba-hambanya’.

3- Dianugerahkan Ganjaran Dan Pahala

Dengan ujianlah Allah SWT akan melipatgandakan ganjaran pahala bagi orang yang sabar dan pasrah, selain diberikan martabat yang lebih tinggi. Contohnya, dihadiahkan dengan sedekah yang banyak dari seseorang selepas diberi ujian kemiskinan.

“Dari Saad bin Abi Waqqash dia berkata: Aku pernah bertanya, ‘Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling berat cubaannya?’ Baginda menjawab: ‘Para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian yang sesudah mereka secara berturut menurut tingkat kesolehannya. Seseorang akan diberi ujian sesuai dengan kadar agamanya. Bila dia kuat, akan ditambah cubaan baginya. Kalau dia lemah dalam agamanya, akan diringkankan cubaan baginya. Seorang mukmin akan tetap diberi cubaan, sampai dia berjalan di muka bumi ini tanpa dosa sedikitpun’.”

Hadis Riwayat al-Bukhari

4- Sebagai Cara Menghapuskan Dosa

Setiap hamba Allah pasti tidak dapat lari daripada berbuat keburukan dan dosa. Bagaimana caranya untuk mengurangkan atau menghapuskan dosa selain daripada bertaubat? Salah satunya adalah mengharungi ujian.

Bagi golongan yang menerima ujian dan sabar menghadapinya dengan penuh syukur dan reda, Allah akan menghapuskan kesalahannya dan mengangkat darjatnya.

5- Membuang Sikap Ujub Dan Takabbur

Sesetengah golongan yang tidak berhadapan dengan ujian berat Allah SWT selalunya menyangka bahawa mereka adalah golongan yang lebih beriman dan disayangi Allah.

Namun, ujian Allah bermaksud bahawa semua hambanya adalah sama disisiNya, yang akan menerima ujian dalam setiap langkah hidup mereka.

Jadi, golongan yang sombong ini menyangka mereka tidak diuji kerana keimanan dan kepatuhan mereka, padahal Allah sedang menyarankan kepada mereka untuk mendekatkan diri kepadaNya.

6- Didikan Allah SWT Kepada Hambanya

Allah turut mendidik hambaNya melalui ujian. Hal ini supaya seseorang hamba itu menjadi kuat dan tidak takut dengan sebarang dugaan yang menghalanginya kelak.

Contoh terbaik adalah, junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sejak kecil, Baginda sudah diuji sebagai anak kecil yang kehilangan ibu-bapanya sehinggalah kepada perjalanan dakwah Baginda.

Ternyata didikan Allah SWT melalui ujian telah melahirkan sosok-sosok yang berkeperibadian tinggi dan sentiasa bersyukur dan gembira dengan ujian yang diturunkan kepadanya.

7- Peringatan Untuk Menghargai Kehidupan di Dunia Dan Akhirat

Ujian Allah juga diturunkan sebagai peringataan, antaranya untuk mengingatkan manusia bahawa ada kehidupan lain selepas kematian iaitu alam Akhirat yang menuntut semua amalan manusia semasa hidup.

Bagi golongan yang bersyukur pasti akan sedar kesilapan lalu dan lebih menghayati indahnya peluang yang diberikan kepadanya. Ini kerana ujian juga sebagai teguran dan bentuk kasih sayang dariNya.

Oleh itu, hal terpenting dalam mengharungi ujian adalah cara untuk menghadapi dan mengambil hikmah dari setiap kejadian yang datang itu. Jangan pernah ragu akan janji dan pertolongan Allah, Allahlah yang berkuasa membalikkan keadaan, Allahlah layak membuatkan hambanya tersenyum atau bersedih.

Jadi hayati dan laluilah setiap ujian itu dengan reda kerana setiap ketetapan yang dijadikan Allah adalah terbaik!

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Rabiatul Adaweeyah)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan