Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,431

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Apakah Amalan Yang Sesuai Dilakukan Pada Bulan Rejab?

12:49am 19/04/2017 Zikri Zainudin 90 views i-Muslim

Gambar Hiasan

Rejab adalah permulaan bagi bulan mulia (Ramadan), untuk mempertingkatkan ibadat dan ketaqwaan sebagai hamba Allah SWT. Rejab juga memiliki kelebihan tertentu berikutan tergolong dalam empat bulan haram, iaitu bulan-bulan yang sangat terhormat di sisi Allah SWT.

Sudah pasti susah untuk menempuh bulan Ramadan itu tanpa apa-apa persedian awal. Jadi, Rejab adalah bulan yang sangat baik untuk memulakan persiapan-persiapan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

“Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah perbuatan maksiat dalam bulan mulia, iaitu Rejab.”

Antara persediaan tersebut adalah dengan melakukan ibadah seperti sedia kala. Tidak ada ibadah khusus yang dikhaskan dalam bulan Rejab ini. Namun beberapa amalan boleh dipertingkatkan, seperti;

#1 – Berpuasa Sunat

Amalan berpuasa dalam bulan Rejab adalah dianjurkan dan merupakan amalan sunnah Rasulullah SAW. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said bin Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab. Said menjawab;

“Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berpuasa.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Imam Al-Nawawi juga pernah menjelaskan, ‘Maksud Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk melakukan puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan lainnya. Asal hukum puasa adalah sunat.’

#2 – Solat Sunat

Terdapat banyak solat sunat yang digalakkan untuk diamalkan. Antaranya adalah dengan mendirikan solat sunat Tahajjud, solat sunat Dhuha, solat sunat Tasbih, sunat Hajat, sunat Witir dan sebagainya.

Namun begitu, harus diingatkan bahawa solat Raghaib yang selalu dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab bukanlah tuntutan yang dikhususkan dilakukan pada bulan itu semata-mata. Lakukanlah solat sunat lain dengan niat menambah keimanan kepada Allah SWT.

#3 – Membaca Al-Quran

Memperbanyakkan bacaan al-Quran merupakan amalan golongan soleh dalam mengisi bulan Rejab sehinggalah tibanya bulan Ramadan. Dengan membaca al-Quran juga dapat meneguhkan jiwa dan keimanan seseorang hamba kepada tuhannya.

#4 – Berzikir

Selalulah membasahkan lidah dengan berzikir, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil sebanyak mungkin. Dengan berzikir dapat membersihkan hati yang selalu lalai dan alpa.

Waktu terbaik untuk melakukan amalan ini adalah ketika selepas subuh dan ketika hampir masuk waktu berbuka puasa.

#5 – Berselawat

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW sebanyak-banyaknya kerana dengan selalu berselawat dan mengingati Rasulullah SAW, lebih mudah untuk kita mendapatkan syafaat Baginda SAW. Dengan berselawat juga dapat memohon keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

#6 – Beristighfar

Istighfar adalah memohon keampunan dari Allah SWT atas dosa-dosa yang telah lalu. Beristighfarlah setiap hari dan sekerap mungkin demi mendapat keampunan Allah SWT.

#7 – Berdoa

Berdoalah dengan memohon sebanyak-banyaknya dalam solat, terutamanya dalam sujud. Berdoalah ketika selepas solat, terutamanya ketika waktu berbuka dan doa ternyata lebih mudah dimakbulkan ketika seseorang itu berpuasa.

#8 – Mengerjakan Umrah

Boleh juga mengerjakan umrah sebagai tambahan ibadah kepada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah melakukan ibadah umrah di bulan Rejab. Bahkan tokoh-tokoh ulama juga sangat gemar melakukan ibadah umrah pada bulan Rejab.

#9 – Bersedekah

Bersedekah adalah amalan yang sangat mulia dan disukai oleh Allah SWT. Dan amalan yang baik ini akan mendapat ganjaran pahala selain mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Lakukanlah ibadah pada bulan ini semampunya, di samping itu jauhkanlah diri daripada apa-apa perbuatan yang dilarang Allah SWT seperti maksiat, kata-kata kesat dan sebagainya.

Rejab, adalah pemulanya bagi bulan mulia. Demi mendapatkan kesempurnaan pada penghujungnya, haruslah permulaannya juga baik. Rejab juga sebenarnya merupakan bulan persediaan bagi menghadapi bulan Ramadan yang seharusnya dilipatgandakan amalan kebaikan.

Semoga sama-sama kita memperoleh kemuliaan bulan-bulan yang dirahmati Allah SWT ini. Amiin.

Apa Komen dan Pendapat Anda