Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Apabila Kuasa Dianggap Keistimewaan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Dalam suratnya yang panjang kepada Malik bin al-Harith al-Ashtar setelah pelantikan Malik sebagai gabenor Mesir pada 658 M. (38H.), Khalifah `Ali k.w. antara lain mengingatkan Malik bahawa pemilihannya untuk memikul amanah memimpin rakyat merupakan ujian bagi dirinya. Justeru itu, Malik diberikan panduan yang begitu terperinci bagi melaksanakan amanah kepemimpinan tersebut yang merangkumi sikap dan layanan terhadap segenap lapisan rakyat selain hak dan tanggungjawab mereka; nasihat yang perlu diterima dan dituruti; syarat-syarat pemilihan pegawai-pegawai utama kerajaan, usaha meneladani kejayaan yang dicapai pemimpin terdahulu; langkah yang harus diambil dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul berkaitan dengan urusan kepemimpinan dan sebagainya.

Malah Khalifah `Ali juga menegaskan bahawa sekiranya kuasa yang dimiliki oleh Malik itu mendorongnya berasa bangga dan megah, maka beliau harus mengingatkan dirinya tentang kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Demikian juga tentang kekuasaan Maha Pencipta itu terhadap dirinya kerana kekuasaan seumpama itu tidak sama sekali dimiliki terhadap dirinya sendiri. Tindakan itu, menurut Khalifah `Ali akan mendorong gabenor yang dilantik itu supaya sentiasa menilai atau bermuhasabah akan cita-cita serta impian dirinya dan mengekalkan pertimbangan diri yang waras.

Isi kandungan surat yang sarat dengan nasihat, peringatan tegas dan amaran itu menjelaskan bahawa kepemimpinan dan kekuasaan merupakan amanah yang membawa bersama-sama dengannya tanggungjawab (taklif) dan pertanggungjawaban (mas’uliyyah). Sehubungan itu persoalan-persoalan seperti apakah sifat asasi yang mencirikan amanah; apakah yang diperlukan untuk menunaikan amanah, kepada siapakah seseorang (pemimpin) itu akan dipertanggungjawabkan; begitu berkaitan dengan seseorang pemimpin.

Pada hari ini, kekuasaan tidak lagi dianggap sebagai ujian dan menjadi sesuatu yang menimbulkan kebimbangan serta kegusaran yang besar bagi sebahagian besar manusia. Malah mereka sebaliknya menganggap kepemimpinan, pengaruh serta kekuasaan sebagai suatu keistimewaan dan pengiktirafan tinggi yang diberikan kepada individu yang memilikinya. Ini tidaklah menghairankan kerana pengaruh dan kekuasaanlah yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang dilimpahi kemewahan serta kemasyhuran. Maka dengan demikian, ia menjadi rebutan dan cita-cita hidup mereka. Segala usaha dan tumpuan diberikan bagi mendapatkan dan mengekalkan kekuasaan untuk suatu tempoh yang seolah-olah tiada hadnya. Malah, kehilangan kekuasaan serta pengaruh begitu ditakuti dan sekiranya ia berlaku, ia mengundang kedukaan yang tidak terucap. Seolah-olah dunia telah pun kiamat dan berakhirlah kehidupan mereka di dunia yang fana ini.

Manusia yang begitu taksub dan cinta akan pengaruh serta kekuasaan ini dapat dilihat di mana-mana jua; tanpa mengira rumpun bangsa dan kelompok masyarakat, atau juga tempatnya, iaitu sama ada yang dekat atau di sekeliling kita mahupun yang jauh dari pandangan mata. Dalam hubungan ini, bekas pemimpin negara jiran, Thaksin Shinawatra, boleh disebut sebagai contoh. Kuasa yang dimiliki mendorong dirinya mengaut keuntungan yang tidak terbatas demi kepentingan diri dan mengetepikan hak, kebajikan serta kepentingan rakyat. Meskipun pelbagai tindakan dikenakan terhadapnya seperti penyingkiran daripada jawatan Perdana Menteri, buang negeri dan hukuman penjara (keputusan Mahkamah Agung Thailand pada 21 Oktober 2008 mendapati Thaksin bersalah kerana konflik kepentingan dalam urusan pembelian tanah daripada agensi kerajaan), selain tuduhan kerana penglibatan dalam jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, ia sama sekali tidak memberikan pengajaran kepadanya. Malah, Thaksin masih berusaha keras dan menggunakan pelbagai helah untuk menyelamatkan segala-gala yang dimilikinya. Thaksin yang dianggap sebagai ahli politik terkaya, termasyhur dan paling berkuasa di negaranya barangkali tidak sama sekali menganggap bahawa tindakannya itu salah kerana alasannya yang pelbagai.

Salah satunya berkemungkinan disebabkan sokongan yang diterima daripada penyokongnya yang tetap setia dan tidak menganggap perbuatannya itu sebagai pengkhianatan terhadap hak serta kepentingan mereka sebagai rakyat. Sungguhpun tidak dapat menerima tindakan Thaksin demi mempertahankan kemewahan dan kedudukannya itu, namun barangkali ia tidaklah begitu menghairankan kita. Namun yang menimbulkan kebencian dan mencalar hati kita ialah jika pemimpin daripada dunia kita sendiri yang bertindak sama seperti bekas pemimpin Thailand itu.

Seperkara yang tidak dapat dipisahkan daripada amanah (kepemimpinan, kedudukan dan kekuasaan) ialah iman. Ini kerana imanlah yang menerbitkan sifat amanah dalam diri sehingga mendorong individu yang memikul sesuatu amanah, melaksanakan amanah tersebut dengan sehabis daya serta kudratnya. Iman jugalah yang akan mendorong seseorang pemimpin misalnya, untuk menilai sama ada tindakannya benar atau salah. Demikian juga dengan matlamat serta tujuannya, sama ada demi maslahah ummah atau sebaliknya hanya menyakiti, memudaratkan dan mengorbankan hak serta kepentingan mereka. Maka dengan demikian, pemimpin yang dibimbing oleh keimanan, sama sekali tidak akan terkeliru, kebingungan dan hanyut dalam ketaksuban mereka terhadap pengaruh serta kekuasaan sehingga mereka tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil atau yang baik dengan yang buruk. Bahkan mereka juga akan mengambil tindakan yang tegas dan bijaksana dengan berpandukan ilmu, demi mengutamakan maslahah umum dan mengetepikan sama sekali kepentingan peribadi, meskipun memperoleh sokongan yang besar untuk terus mempertahankan kuasa yang dimiliki. Ini kerana, mereka menyedari bahawa amanah besar lagi berat yang dipikul oleh mereka, tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah s.w.t. pada hari akhirat kelak. Kegagalan mereka untuk melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, iltizam serta kesungguhan yang tinggi hanya akan mengakibatkan mereka ketika itu diselubungi penyesalan yang tidak berpenghujung dan tiada pula gunanya lagi.

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Wan Roslili Binti Abd. Majid)

Komen


Berita Berkaitan