Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,671

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Apabila Cinta Dunia Melekat Dalam Hati

2:24pm 19/08/2016 Zakir Sayang Sabah 55 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Tercatat dalam Siyar A’lam An-Nubala, kisah seorang tabiin, yang terkenal dengan namanya Abu Hazim. Sentiasa kata-kata yang keluar dari lisannya penuh hikmah.

Diriwayatkan oleh Yahya bin Muhammad Al-Madini dari Abd Rahman bin Zaid bin Aslam, dia berkata kepada Abu Hazim pada satu hari :

“Aku dapati ada satu hal yang mendukacitakanku.”

Abd Rahman seakan-akan mahu mengadukan sesuatu yang berat telah menimpa dirinya. Lalu Abu Hazim pun bertanya kepadanya :

“Apakah hal itu wahai anak saudaraku?”

Kalau dibanding-banding keadaan kita hari ini, barangkali yang paling menyedihkan itu adalah kekasih lari atau putus cinta, tak berjaya dalam peperiksaan, tak dapat kerja dan sebagainya. Tidaklah salah. Namun setiap hal itu ada nilaiannya di sisi Allah.

Pastilah yang membezakan soal nilai perasaan kita dalam hal kesedihan, kegembiraan, keresahan mahupun kedukacitaan adalah pada hal apa kita tuangkan perasaan kita itu, bukan?

Apakah yang dijawab oleh Abd Rahman? Jawabnya : “Yang membuatku dukacita itu adalah kecintaan yang telah melekat dalam diriku terhadap dunia ini.”

Jawapan semacam apakah yang keluar dari lisan Abd Rahman ini dan bagaimana mungkin hal itu boleh sangat mengganggunya?

 

Berhati-hati Dengan Al-Wahn

Pernah sekali baginda s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya : “Dibimbangi kaum-kaum manusia akan mengerumuni kamu sebagai orang yang makan mengerumuni makanannya.”

Para sahabat memahami bahawa itu adalah khabar kurang enak untuk mereka. Lalu mereka pun bertanya baginda,

“Apakah kami sedikit pada ketika itu?”

“Bahkan kamu ramai. Tetapi kamu umpama buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah mencabut rasa takut kepada kamu dari hati-hati musuhmu dan menjadikan dalam diri kamu al-wahn.”

Sahabat bertanya : “Apakah al-wahn itu wahai Rasul s.a.w.?”

“Cintakan dunia dan takutkan mati.” [HR Ahmad]

Barangkali inilah yang sentiasa menjadi kerisauan para salafus soleh. Mereka yang pernah hidup dan mendampingi para sahabat baginda s.a.w., lalu pastilah terasa begitu terkesan sekali dengan didikan yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. kepada mereka melalui tangan para sahabatnya.

Di saat bilangan ummat Islam sekarang mencapai kedudukan di antara jumlah penganut agama yang terbesar di dunia, wajar sekali untuk kita sentiasa bermuhasabah. Kalau saja para salaf yang kuat iman mereka itu, yang hidup bersama dengan baginda Rasul s.a.w. itu, yang mana di antara mereka ada yang dijanjikan syurga, yang mana di kalangan mereka itu ada ahli Badar yang telah dijanjikan redha Allah,  pun menangis dan sangat merisaukan diri mereka di saat baginda s.a.w. menuturkan segala peringatan tentang dunia ini, maka kita yang sudahlah jauh dari generasi Rasul s.a.w., lemah ibadah dan banyak kelalaian, lebihlah sepatutnya kita merasa risau dan takut dengan keadaan diri kita sendiri.

 

Belajar Dari Aduan Dan Keluhan Salaf Yang Menimbulkan Kekuatan

Kita bertemu banyak orang. Kita pernah mendengar banyak keluhan. Tetapi kadangkala keluhan dan aduan banyak berkaitan material dan keduniaan.

Lihatlah keluhan dan aduan para salaf sesama mereka. Aduan dan keluhan mereka, apabila kita telusuri dan teliti, menimbulkan kekuatan dan rasa malu dalam diri kita.

Allahu akbar. Bagaimana tidak malu. Para salaf mengadukan tentang sedikitnya kelalaian mereka dengan dunia, sedangkan kita berhari-hari lamanya lalai, tetapi tidak sedikit pun itu membuatkan jiwa kita sensitif.

Aduan mereka sesama mereka membuatkan jiwa kita tersentak, membangunkan rasa beramal dan mengingatkan kita betapa jauhnya jejak kita dari jejak mereka di atas jalan menuju syurga. Pun begitu, mereka sangat begitu terasa dengan sedikitnya kelalaian yang telah mereka lakukan.

 

Abu Hazim : Cinta Dunia Yang Tidak Merosakkan

Para salaf tidaklah menolak bahagian dan habuan di dunia. Namun, mereka menimbangnya dengan neraca iman. Mereka tidak mengambilnya dengan penuh tamak haloba, bernafsu dan melupakan Allah s.w.t. Mereka mengambil pada kadar yang sewajarnya.

Mereka tidak tunduk kepada dunia, lalu Allah menjadikan dunia ini tunduk di tangan mereka. Tetapi apabila kita tunduk kepada dunia, maka dunia ini pun menjadi tuan kita, lalu jadilah kita hamba mengejarnya tiada berkesudahan.

Apa jawapan Abu Hazim kepada Abd Rahman tadi?

“Ketahuilah, bahawa ini adalah termasuk hal yang aku tidak akan cela diriku kerana Allah mencampakkan rasa cinta ke dalam diriku kepada sebahagian hal, kerana Allah telah mencampakkan rasa cinta kepada dunia dalam diri kita.

Tetapi hendaklah celaan ke atas diri kita dilakukan pada hal selain ini (selain dari yang telah Allah ciptakan rasa cinta terhadapnya) iaitulah :

Hendaklah cinta kita terhadap dunia ini tidak membawa kita mengambil sesuatu daripadanya yang dibenci oleh Allah s.w.t. Dan janganlah kita menghalang sesuatu dari apa yang Allah s.w.t. cintakannya.

Sekiranya kita melakukan hal ini (melayan rasa cinta terhadap dunia begini), maka cinta kita terhadap dunia ini tidaklah memudharatkan kita.”[1]

Inilah nasihat yang sederhana dan menenangkan dari Abu Hazim. Kita tidak berlebihan dalam mengambil manfaat dunia, pun begitu kita tidak juga menolaknya terus.

———————————————

[1] Az-Zahabi, Siyar A’lam An-Nubala’, Tobaqoh Ar-Rabi’ah

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan