Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Apabila Allah Berikan Kita Kesusahan

11:46am 07/10/2016 Zakir Sayang Sabah 224 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Hidup terasa payah? Hidup terasa sesak?

Ada waktu kita rasa demikian. Kadangkala apa yang kita usahakan seakan tidak membuahkan hasil. Bahkan lebih teruk lagi, usaha kita menghala ke arah lain yang kelihatannya lebih memberikan keburukan kepada kita.

Kadangkala kita memandang ke langit dan menjerit: “Ya Allah, kenapa hidup aku begini?”

Tertanya-tanya. Rasa seperti hendak menyalahkanNya.

Sebab kita percaya bahawa kehidupan kita tertakhluk di dalam takdirNya.

Mengapa aku disusahkan? Bermain-main di dalam jiwa.

Namun hakikatnya, apakah benar kita disusahkan?

Atau hakikatnya kitalah yang menyusahkan diri kita sendiri?

Kehidupan kita di atas apa?

Melihat semula kehidupan kita, di atas tapak apakah kita berpijak?

Apakah di atas tapak yang dibina dengan keimanan kepada Allah SWT, atau di atas tapak nafsu rekaan manusia?

Adakalanya sebahagian kita menyangka bahawa kita telah mendirikan kehidupan kita di atas Islam sepenuhnya. Akhirnya kita hendak berkata: “Aku dah amal Islam pun, masih susahkah?”

Tetapi apakah betul bahawa kita telah mengamalkan Islam secara benar?

Kadangkala, Islam kita hanya pada solat dan puasa, tidak pada belajar dan kerja. Tidak pada rumah tangga dan pengurusan keluarga. Tidak pada kehidupan dan aturcaranya.

Islam adalah sumber kedamaian dan kebahagiaan.

Namun kita tidak bersungguh-sungguh mengambilnya. Kita mengambilnya separuh-separuh. Secebis-secebis. Sewaktu-sewaktu.

Itulah hakikatnya punca utama kesusahan kita.

“Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Surah Al-An’am ayat 17.

 

Memandang positif kesukaran

Ujian adalah tarbiyah direct daripada Allah kepada kita.

Itu adalah ungkapan yang menjadi motivasi saya. Saya fikir, yang menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat tegar menjunjung Islam dalam sepenuh kehidupan mereka adalah dugaan dan cabaran yang telah mereka lalui.

Bukannya mereka tidak pernah kecewa atau merasa sukar dengan perjuangan mereka. Bahkan mereka pernah tertanya-tanya di manakah pertolongan Allah kerana risau akan ketewasan mereka. Namun apabila mereka berjaya mengharungi kesukaran demi kesukaran, mereka akan tertingkat.

    “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Hal ini kerana, kesukaran adalah tarbiyah.

Janganlah memandang serong dengan kesusahan yang datang bertimpa. Pandanglah ia sebagai satu bentuk kasih sayang Allah kepada kita. Bila susah, hingga tiada manusia mampu menjadi tempat bergantung kita, kita hanya tinggal dua pilihan. Merapat kepada Allah atau memakiNya.

Biasanya manusia akan memilih untuk memakiNya.

Maka mengapa kita tidak memilih yang satu lagi?

Mungkin sahaja Allah hendak menyelamatkan kita dari kenikmatan dunia yang menipu daya, dan hendak memberikan kita Syurga di akhirat yang kekal abadi selama-lamanya kepada kita?

Siapakah yang pernah memandang demikian?

 

Hairan dengan kecekalan mereka

Tidakkah kita merasa hairan akan manusia-manusia seperti Sumayyah dan suaminya Yassir?

Mereka itu mati sebelum mencapai kemenangan. Kesukaran datang kepada mereka bertimpa-timpa. Sedang mereka itu mengambil Islam sepenuhnya. Tetapi mengapa anak mereka Ammar, tidak pula mencaci Allah atas kematian kedua orang tuanya?

Tidakkah kita merasa hairan akan Anas bin Nadhr RA? Dia mati di medan Uhud dengan 80 tusukan pada tubuhnya. Dia mati dalam keadaan wajahnya hampir sahaja tidak dikenali sesiapa. Tinggal adik perempuannya sahaja mengenalinya melalui cincin di jarinya.

Dia mati sebelum mencapai kesenangan. Islam sebelum perang Uhud belum lagi mencapai kemenangan yang membuatkan ummatnya bersenang lenang di dunia. Tetapi mengapa adiknya tidak pula mencaci maki Allah atas kematian Anas sebegitu rupa?

Tidakkah kita hairan melihat Hamzah bin Abdul Muttalib RA? Dia juga mati di medan Uhud. Bahkan mati dalam keadaan yang amat mencucuk jiwa. Hatinya dimamah dan tubuhnya dilapah-lapah. Hidung dan telinganya dipotong. Hingga Rasulullah SAW juga menjeruk rasa bersedih hati, hingga Rasulullah SAW terpaksa menghalang makciknya Safiah bte Abdul Muttalib dari  melihat Hamzah.

Hamzah mati sebelum merasai kesenangan. Mengapa Rasulullah SAW atau Safiah bte Abdul Muttalib tidak menghina Allah SWT ketika itu dan menyatakan bahawa Allah tidak adil dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan?

Kita hairan. Apakah yang membuatkan mereka kekal tabah? Bahkan bukan semata-mata tabah bertahan rasa. Mereka terus tulus berjuang menegakkan agamaNya.

Apa yang menggerakkan mereka? Apa yang mencuci kelukaan mereka apabila ditimpa kesukaran demi kesukaran? Apakah yang merawat jiwa mereka?

Saya tiada jawapan lain melainkan keimanan yang sempurna kepada Allah SWT.

 

Kadangkala kerana dosa kita juga

Dan kalau kita perhatikan dengan lebih teliti, kadangkala kesusahan yang menimpa kita adalah kerana dosa-dosa kita juga.

Mungkin sahaja Allah tidak memudahkan urusan kehidupan kita adalah kerana kita melakukan maksiat dan pengingkaran terhadapNya.

Sepatutnya, apabila kita sedar akan hal ini, perkara utama yang perlu kita lakukan dalam hendak menyelesaikan masalah yang menimpa bukanlah terus pergi kepada permasalahan teknikal masalah itu. Tetapi apa kata kita terus bersimpuh dan bertaubat kepada Allah akan dosa yang telah kita lakukan?

Saya percaya, ujian Allah adalah tanda kasih sayangNya.

Mengapa saya katakan demikian?

Kerana dengan Dia menguji kita, kita sedar akan kesilapan kita kepadaNya, lantas kita bertaubat, dan Allah membersihkan dosa kita.

   “Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” Surah Luqman ayat 32.

Kalau dia tidak menguji kita walaupun kita berdosa? Itu istidraj namanya. Apakah istidraj? Istidraj adalah kenikmatan yang Allah berikan walaupun kita ini ingkar kepadaNya, bukan untuk menandakan Dia tidak kisah akan dosa kita, tetapi menandakan bahawa Dia tidak lagi peduli dengan kita dan hendak membiarkan kita ke neraka. Maka apalah sangat nikmat dunia yang sedikit ini Dia berikan terlebih dahulu kepada kita, berbanding nerakaNya yang sangat dasyat yang akan Dia berikan kepada kita di akhirat sana.

 

Penutup: Allah sentiasa memberikan yang terbaik. Kita sahaja yang tidak mensyukuriNya

Saya kira, kalau kita ini benar hamba yang beriman kepada Allah SWT, kita akan mampu melihat betapa segala pemberian Allah kepada kita adalah pemberian yang terbaik.

Baik kesenangan, mahupun kesukaran. Semuanya terbaik.

Tinggal kita sahaja tidak belajar untuk bersyukur dalam erti syukur yang sebenarnya.

Kita sahaja yang suka bersangka buruk kepada Allah SWT.

Sedangkan, yang mengetahui baik atau buruk untuk kita hanyalah Allah SWT.

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”  Surah Al-Baqarah ayat 216.

Siapakah kita untuk menyalahkanNya atas apa yang Dia timpakan kepada kita?

Diri sendirilah yang sepatutnya kita persalahkan hakikatnya.

  “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syuura ayat 30.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan