Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Apa Jua Keputusan Mahkamah Tidak Seharusnya Timbul Sebarang Prasangka – Muhyiddin

kalimahALLAH

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang prasangka dalam apa jua keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata persefahaman baik antara kaum dan agama yang terjalin dalam negara selama ini yang yang berlandaskan kepada perlembagaan serta undang-undang negara dan juga negeri, perlu menjadi pegangan semua.

Menurutnya ia perlu diterima walaupun dalam keadaan yang sukar dan sensitif kerana membabitkan kepentingan semua pihak, semua agama, di samping memastikan tidak timbul isu atau perbalahan yang boleh menjejaskan kerjasama dan perpaduan.

“Saya setuju dengan pandangan ramai dalam perkara ini, kita perlu bergerak ke hadapan, hubungan antara kaum dan agama dalam negara perlu dipertahankan,” katanya dalam satu persidangan media selepas mendengar taklimat BN Sarawak di sebuah hotel di sini, Selasa.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Gereja Roman Katolik untuk menarik balik larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan The Herald versi Bahasa Malaysia.

Bagi Sabah dan Sarawak, Muhyiddin berkata jemaah menteri telah merumuskan satu resolusi 10 perkara yang merupakan jalan sederhana yang terbaik dalam menangani isu berkenaan.

Semasa berucap dalam satu perhimpunan Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kerana resolusi 10 perkara yang ditetapkan kerajaan pada tahun 2011 antaranya membenarkan masyarakat Kristian di dua negeri itu terus menggunakan bible versi bahasa Melayu mereka.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang turut berada di persidangan media itu ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan berkata: “Ia bukan satu masalah kepada kami.”

Komen


Berita Berkaitan