Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Anwar ‘Muncul’ Di Mahkamah Jalan Duta Kes Saman

anwar
Anwar dipeluk oleh para penyokongnya ketika hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk perbicaraan kes saman beliau ke atas Datuk Seri Anifah Aman.

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara, ‘muncul’ hari ini di Mahkamah Tinggi untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan olehnya terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Anwar yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam diiringi beberapa pegawai penjara serta anggota polis, tiba pada 8.50 pagi.

Isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anaknya Nurul Izzah, Nurul Nuha, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin parti pembangkang turut hadir di bilik bicara.

Anwar dibawa oleh pihak polis dari Penjara Sungai Buloh setelah dijatuhi hukuman bermula 10 Feb lepas setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang itu kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Pada 27 Ogos tahun lepas, Anwar selesai memberi keterangan dalam kes saman tersebut namun dipanggil semula hari ini selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anifah untuk meminda pernyataan pembelaan tambahan berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu menawarkan RM100 juta kepadanya untuk melompat parti.

Dalam kes yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid ini Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Anifah.

Perbicaraan penuh kes tersebut, bermula 25 Ogos tahun lepas dan berakhir pada 26 Disember, selepas Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang merupakan saksi terakhir defendan (Anifah) memberi keterangan.

Bagaimanapun selepas saksi itu selesai memberikan keterangan, Anifah membuat permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan tambahannya.

Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Ketua pembangkang itu mendakwa Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak untuk memegang sebarang jawatan politik atau apa-apa jawatan dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah menimbulkan fitnah terhadap perwatakannya dan secara langsung dan tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan rasuah. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan