Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Anugerah Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Galakan Buku Umum 2018 Tawar RM40K

Tun Juhar menerima cenderamata berupa buku terbitan DBP Cawangan Sabah yang ditulis oleh penulis tempatan daripada Asmiah. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Anugerah Hadiah Sastera Sabah dan Hadiah Galakan Buku Umum 2018 menawarkan ganjaran keseluruhan RM40,000 dan pemenang akan diumum pada 20 Oktober ini.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Asmiah Ajamain berkata majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

“Anugerah Hadiah Sastera Sabah merupakan program dwitahunan DBP sejak tahun 1988, manakala hadiah buku umum pula ialah program kerjasama DBP dengan Yayasan Sabah.

Tun Juhar (tengah, depan) merakam gambar kenangan bersama rombongan DBP Cawangan Sabah diketuai Asmiah (depan, kiri). Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Bagi anugerah hadiah sastera, kami akan menilai beberapa genre seperti puisi, cerpen, novel dan sebagainya untuk dinilai oleh pakar-pakar sama ada hasil tulisan tersebut layak diberikan anugerah.

“Hadiah berbeza mengikut genre iaitu RM750 seorang bagi 10 pemenang puisi serta RM1,000 bagi cerpen dan kita juga menyediakan hadiah untuk kumpulan puisi dan novel,” ujarnya.

Tambah Asmiah, anugerah berkenaan bertujuan untuk menggalakkan para penulis menghasilkan karya yang bermutu dan mengangkat martabat penulis tempatan ke peringkat global.

“Di Sabah, setakat ini, kita mempunyai lebih kurang 200 penulis yang bergiat aktif dalam menghasilkan karya mereka.

“Sejak program ini dilaksanakan, kini kita sudah pun melahirkan ramai penulis yang berjaya menembusi anugerah-anugerah di luar negara.

“Antaranya, Datuk Jasni Matlani yang menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015 dan Allahyarham Datuk Ismail Abbas yang dikenali sebagai Amil Jaya (1995) oleh Kerajaan Thailand dan Azmah Nordin.

“Hasil usaha kita dengan beberapa badan penulis lain, ada penulis Sabah yang telah diangkat karyanya sebagai buku teks di Singapura,” jelasnya.

Tun Juhar mengatakan sesuatu kepada Asmiah (kiri) pada sesi kunjungan berkenaan. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Haji Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada Selasa.

Menurutnya, kunjungan tersebut adalah untuk menyampaikan undangan kepada Tun Juhar untuk menyampaikan hadiah kepada para penerima anugerah.

Mengenai perkembangan lain, Asmiah memaklumkan, DBP kini menjalankan program yang diilhamkan oleh golongan penulis muda iaitu Program Sunting, Nilai dan Cantik yang melibatkan penilaian oleh penulis tersohor yang dilantik untuk menilai karya mereka terutama cerpen dan puisi yang telah disiarkan dalam akhbar pada setiap bulan.

Dalam pada itu, ujar beliau, pihaknya juga sedang melaksanakan Program Tunas Muda bagi menggalakkan kepada minat menulis dalam kalangan murid-murid sekolah.SabahNewsToday/Penerangan

Komen


Berita Berkaitan