Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Antara Ibrahim, Ismail, Hajar dan Kita.

12:24pm 15/09/2016 Zakir Sayang Sabah 43 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Saban musim Aidil Adha, kita akan kembali menziarahi kisah keluarga Ibrahim. Cerita bagaimana seorang Rasul merangkap seorang ayah, bergerak untuk menunaikan perintah Allah hingga sanggup mengorbankan anaknya, juga merupakan cerita seorang anak yang mentaati Allah hingga bersiap untuk mengorbankan dirinya. Itulah juga kisah seorang isteri dan ibu, yang mentaati Allah, hingga meredhai apa yang berlaku.

Namun sejauh mana kita menghayati pengorbanan keluarga yang mulia ini?

Ibrahim AS, ketika peristiwa itu berlaku, telah lama berpisah dengan anaknya. Ismail & Hajar telah ditinggalkan olehnya di Makkah atas arahan Allah sedang dia pulang ke Palestin. Apabila anaknya akil baligh, Ibrahim AS diperintahkan pula untuk menyembelih anaknya itu. Perintah pula datang dalam bentuk mimpi, tetapi baginda tahu bahawa mimpi para Rasul bukan permainan syaitan.

Baginda perlu merentas perjalanan sangat panjang, untuk menyembelih anaknya. Bayangkan?

Sudahlah perjalanan memakan masa dan tenaga, anaknya kesayangan yang lama tidak dijumpainya pula perlu dikorbankan. Bukanlah perjalanan yang mudah. Namun diharungi juga, kerana apa?

Kerana iman, keyakinan, percaya, kepada Allah SWT.

Ismail AS, apabila bapanya yang tidak membesarkannya, hadir di hadapannya setelah sekian lama, tiba-tiba pula datang membawa perintah berupa pengorbanan dirinya, apakah mudah untuk diterima? Semestinya tidak. Namun apakah respon anak muda ini?

Nabi Ismail AS mentaati perintah itu. Merelakan dirinya untuk dikorbankan. Tidak memaki hamun bapanya kerana mahu melaksanakan perintah tersebut. Tidak pula mengungkit ketiadaan bapanya dalam kehidupannya selama ini.

Kerana apa? Kerana iman, keyakinan dan percaya kepada Allah SWT.

Apakah Ismail AS tiba-tiba automatik membesar menjadi seorang yang soleh? Sunnatullahnya tidak. Maka siapakah yang mendidik beliau? Sedang bapanya tiada di sisinya sepanjang tumbesaran Ismail AS.

Di sinilah kita melihat peranan Hajar. Yang memahami bahawa tindakan suaminya meninggalkan dirinya dan Ismail di sebuah tanah gersang, atas perintah Allah SWT. Dan semestinya Allah tidak mempersiakan hamba-hambaNya yang beriman. Allah tidak akan memerintahkan hamba-hambaNya melakukan hal yang sia-sia. Atas kepercayaan itu, Hajar tidak membenci Ibrahim meninggalkannya. Buktinya? Ismail dibesarkan menjadi pemuda yang beriman kepada Allah SWT, dididik dengan kesantunan dan akhlak yang baik.

Hingga tatkala Ibrahim AS tiba dan membawa khabar bahawa baginda perlu menyembelih Ismail, Ismail AS kekal santun dan yakin.

Begitulah juga Hajar. Suaminya telah meninggalkannya, kemudian kembali pula dalam keadaan membawa perintah untuk mengorbankan anak kesayangannya, permata tunggalnya, apakah Hajar menjerit histeria? Apakah Hajar memaki Ibrahim? Apakah Hajar mencela Allah SWT? Tidak dan tidak.

Hajar juga redha. Kerana apa? Kerana beriman, yakin dan percaya kepada Allah SWT.

Keluarga ini, melalui ujian keimanan yang begitu berat dan dasyat. Tetapi keluarga ini mempersembahkan kualiti iman yang tinggi dan menempuhi ujian tersebut dengan begitu baik sekali.

Hingga apabila mereka berjaya menempuhnya, Allah memuji mereka berkali-kali di dalam Al-Quran.

“Kami abadikan untuk Ibrahim itu pujian yang baik di kalangan orang-orang yang datang kemudian – Yaitu Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim – Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” Surah As-Soffat ayat 108-110.

Di dalam ayat yang lain:

“Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus ? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya.” Surah An-Nisa’ ayat 125.

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!” Surah Maryam ayat 54-55.

Persoalan terbesar selepas kita menghayati kisah ini ialah: “Bagaimana pula pengorbanan kita?”

Kita tidak diperintahkan untuk menyembelih anak kita sendiri. Tidak juga kita disuruh meninggalkan ahli keluarga kita di tanah gersang. Suami kita tidak diperintahkan Allah SWT untuk meninggalkan kita berseorangan membesarkan anak kita di tengah padang pasir. Suami kita tidak diarahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anak kesayangan kita.

Pengorbanan yang dituntut kepada kita hanyalah pengorbanan nafsu shahwat ke atas perkara-perkara yang Allah larang. Mengorbankan sebahagian keinginan kita atas hal-hal yang dimurkai Allah. Mengorbankan sikap-sikap buruk untuk memilih bersikap dengan sikap yang diredhai Allah. Mengorbankan sebahagian masa untuk beribadah. Mengorbankan sebahagian harta untuk zakat dan sedekah. Mengorbankan sedikit keselesaan hidup untuk kisah dengan orang-orang yang dizalimi dan membela mereka. Mengorbankan sedikit kepentingan diri untuk berdakwah menyebarkan agama Allah SWT ini.

Apalah sangat pengorbanan kita sebenarnya? Apalah sukar sangat?

Kisah Ibrahim, Ismail dan Hajar hakikatnya diulang saban tahun supaya manusia menyedari bahawa hendak menjadi muslim yang baik itu, antara ciri yang perlu ada ialah kesediaan kita mengorbankan sebahagian kehidupan kita, keselesaan diri, untuk mentaati Allah SWT.

Sememangnya Islam menuntut pengorbanan daripada kita. Kita tidak akan mampu mencintai Allah SWT dengan baik sekiranya pada masa yang sama kita tidak korbankan rasa cinta kita terhadap apa yang dimurkaiNya.

Di sinilah kita bermuhasabah, meneliti kembali kehidupan kita.

Apa sebenarnya telah kita korbankan dalam perjalanan menjadi seorang muslim & muslimah yang baik?

Hayati kisah Ibrahim, Ismail dan Hajar, kemudian kita refleksi semua itu dalam kehidupan kita.

Semoga saban Aidil Adha, kita memeriksa kembali komitmen kita terhadap agama ini.

Sama ada kita menjadi muslim yang jujur, benar-benar beriman, hingga sanggup berkorban demi mendahulukan perintah Allah SWT berbanding kepuasan hawa nafsu diri, atau kita sebenarnya muslim yang hipokrit. Hanya muslim pada kad pengenalan, pada nama dan keturunan.

Muhasabah.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan