Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Anifah lebih risau keadaan kesihatan Musa

DATUK Seri Anifah Aman ketika sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa di Kota Kinabalu.- Foto Mohd Adam Arinin

 

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengakui tidak tahu di mana Tan Sri Musa Aman berada, malahan apa yang lebih merisaukan adalah keadaan kesihatan abangnya itu.

“Di mana dia ketika ini, saya tidak tahu, apa yang menjadi kerisauan saya sekiranya beliau tidak sihat.

“Saya tahu dia mampu untuk menang dalam pertempuran (cabaran) ini. Biarkan dia berehat dan balik untuk raya,” katanya mengulas ‘kehilangan’ abangnya sejak hampir seminggu lalu.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis ditemui NSTP selepas majlis berbuka puasa anjuran beliau yang dihadiri pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah di sini, malam ini.

Beliau berkata, kali terakhir bercakap dengan Musa ialah sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini.

Sebelum ini, Musa yang juga Pengerusi BN Sabah dilaporkan sudah keluar negara dengan mengambil penerbangan ke London daripada Brunei atau Singapura.

Bagaimanapun, semakan NSTP dengan sumber Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod bekas Ketua Menteri Sabah itu keluar dari negara ini.

Musa dikehendaki oleh Polis Sabah bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di rumah Musa di sini, namun tidak dapat memasuki kediaman itu kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, peguam Musa, Zahir Shah menerusi kenyataan ringkas malam ini, berkata anak guamnya akan memberi kerjasama oenuh kepada SPRM, termasuk menjalankan pemeriksaan di kediamannya.

Terdahulu, majlis berbuka puasa itu dihadiri hampir semua pemimpin UMNO Sabah, selain dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Antara yang hadir ialah Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Naib Presiden PBRS, Arthur Kurup; Ketua UMNO Ranau, Datuk Seri Masidi Manjun, selain Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin. –¬†Oleh Fardy Bungga/BH Online

Komen


Berita Berkaitan