Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Anifah Akan Beri Keterangan Pada 30 Okt Kes Saman RM100 Juta

anifah

KUALA LUMPUR– Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan memberi keterangan pada 30 Okt dalam perbicaraan kes saman RM100 juta yang dikemukakan Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu melompat parti.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Siti Khadijah S.Hassan Badjenid menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini sebagai sebutan untuk pengurusan kes selepas menemui peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Anwar dan Jeffrey John yang mewakili Anifah.

John memberitahu pemberita bahawa defendan (Anifah) akan memanggil tiga orang saksi iaitu Datuk Raime Unggi yang juga anggota Parlimen Tenom, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee dan Duta Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas anggota Parlimen Bayan Baru.

Beliau berkata kesemua mereka telah mengemukakan pernyataan saksi kepada mahkamah.

John juga berkata lima lagi saksi akan disapina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu dan mereka termasuk anggota Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee. Razlan Hadri memberitahu bahawa mahkamah menetapkan empat hari bermula 25 Nov untuk menyambung perbicaraan.

Pada 27 Ogos, plaintif telah menggulung kesnya selepas memanggil Anwar, yang merupakan satu-satunya saksi, untuk memberi keterangan.

Pada 27 Mei 2009, Anwar mengemukakan saman fitnah bagi RM100 juta terhadap Anifah dan kerajaan Malaysia kerana mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media di Washington, yang juga dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Ketua pembangkang itu mendakwa Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak untuk memegang sebarang jawatan politik atau apa-apa jawatan dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah menimbulkan fitnah terhadap perwatakannya dan secara langsung dan tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan rasuah.

Komen


Berita Berkaitan