Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Anggota Rela Tidak Dalam Kedudukan Berisiko Esszone

Persembahan T-Baton anggota Rela yang bersemangat.

 

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi jaminan bahawa anggota-anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditugaskan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) tidak diletakkan dalam keadaan berisiko.

Beliau berkata mereka ditugaskan sebagai benteng kedua dan bukannya di barisan hadapan Esszone.

“Mereka tidak diletakkan dalam apa-apa operasi taktikal di barisan hadapan. Mereka bertindak sebagai benteng kedua untuk memastikan kawasan belakang selamat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sangat mengetahui tahap keselamatan dan bentuk ancaman dalam Esszone, justeru itu, ia tidak akan ‘membuta tuli’ dalam menugaskan anggota Rela di kawasan itu tanpa mengambil kira semua risiko.

Nur Jazlan berkata demikian semasa mengulas kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mempertikai peranan anggota Rela di Esszone.

Beliau ditemui pemberita pada majlis kesyukuran Rela di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Rela dan Zulkifli Abidin.

Nur Jazlan berkata semua aspek terutamanya kemampuan anggota Rela dan risikonya telah diperincikan dalam mesyuarat Lembaga Penasihat Esszone pada 29 Sept 2017, yang meluluskan pembabitan anggota Rela dalam membantu menjaga keselamatan di zon itu.

Anggota Rela yang dipilih untuk ditugaskan di Esszone juga diberikan latihan dan kursus termasuk kursus khas oleh pelbagai agensi keselamatan berkaitan bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Anggota yang bertugas juga dibekalkan dengan alat komunikasi Government Integrated Radio Network (GIRN) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Aktiviti penguatkuasaan mereka juga dikoordinasikan dengan pihak polis supaya tindakan ini akan membawa hasil lebih baik,” katanya.

Menurutnya penugasan mereka juga bersesuaian dengan peranan Rela sebagai benteng pertahanan kedua yang menjaga keselamatan setempat melalui rondaan komuniti dan penyaluran maklumat.

Menerusi video yang tular di laman sosial, Mohd Shafie ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, Sabah pada Ahad mempertikai tindakan menempatkan anggota Rela yang tidak mahir dalam mengendalikan senjata api untuk penugasan di Esszone.

Beliau dilaporkan berkata bahawa anggota Rela hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis-majlis kenduri sahaja.

Nur Jazlan berkata kenyataan Mohd Shafie itu adalah penghinaan terhadap kemampuan anggota Rela.

Beliau turut menafikan dakwaan Mohd Shafie berhubung kelulusan peruntukan RM6 juta dan tanah bagi pembinaan Pusat Latihan Rela Kedua Sabah serta tentang Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman meluluskan perkara itu dibangkitkannya.

Nur Jazlan menjelaskan kelulusan tersebut telah diumumkan Musa pada sambutan Ulang Tahun Rela Ke-45 pada 11 Feb 2017 dengan peruntukan RM6 juta disalurkan dalam dua peringkat iaitu RM3 juta bagi 2017 dan RM3 juta bagi 2018.

“Tapak untuk pusat latihan itu sedang dalam proses untuk dimuktamadkan,” kata Nur Jazlan. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan