Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Anggota Polis Bantu Pegawai Nazak Dalam Serang Hendap Di Simunul

simunul

KOTA KINABALU– Seorang anggota Cawangan Khas (SB) Sabah membantu seorang pegawai polis yang cedera dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna tahun lepas, sebelum pegawai itu menghembuskan nafas terakhir, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Khamis.

Sarjan Mohd Mustafa Kamal Ngah berkata dia membantu Superintenden Ibrahim Lebar yang sedang nazak selama kira-kira lima hingga 10 minit sehingga pegawai itu menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Mustafa Kamal berkata dia juga membantu seorang lagi pegawai yang cedera ASP Mohamad Hasnal Jamil masuk ke dalam rumah nombor 19 pada malam 2 Mac tahun lepas apabila Ibrahim rebah dan tertiarap di hadapannya.

“Saya memusingkan badannya (Ibrahim) dan dia kata dia terkena tembakan dan meminta bantuan.

“Saya menekan perutnya (yang terkena tembakan) untuk menahan darah daripada keluar dan cuba menenangkannya,” kata saksi itu.

“Bagaimana anda cuba menenangkannya?” soal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Mohd Mustafa Kamal: “Saya menyuruhnya mengucap dua kalimah Syahadah.”

Anggota Cawangan Khas itu memberitahu mahkamah dia dan Mohamad Hasnal serta beberapa anggota polis dan enam lelaki, yang diberkas sebelumnya, terus berada dalam rumah nombor 19 selama kira-kira 22 jam sehingga mereka diselamatkan oleh pasukan komando VAT69.

Keesokan hari selepas serang hendap itu, ketika masih terperangkap dalam rumah itu, Mohd Mustafa Kamal berkata dia melihat ada sebuah sampan di bawah rumah , dan juga melihat seorang lelaki ditembak mati dan selaras raifel M16, kira-kira pukul 3 petang.

Selepas Inspektor Khairulnizam Husin, yang juga terperangkap dalam rumah itu, mengarahkannya mengambil senjata itu, dia mencabut papan lantai rumah itu dengan dibantu oleh seorang lagi anggota polis, yang menarik senjata itu menggunakan kayu, mengambilnya dan kemudian menyerahkan senjata itu kepada Khairulnizam.

Terdahulu, Mohd Mustafa Kamal memberitahu mahkamah dia bersama pasukan diketuai oleh Khairulnizam menjalankan pemeriksaan di rumah nombor 19 apabila Khairulnizam mengarahkannya mencari pasukan yang diketuai oleh allahyarham Ibrahim dan pasukan yang diketuai oleh mendiang ASP Michael Padel.

“Setelah saya menerima arahan itu, saya keluar dari rumah nombor 19. Apabila saya berjalan 10-15 meter, saya terdengar bunyi tembakan dipercayai daripada senjata laras panjang,” katanya dan menambah bunyi tembakan itu datang dari arah rumah nombor 27.

Mohd Mustafa Kamal berkata dia segera mengeluarkan pistol dan meniarap apabila melihat Mohamad Hasnal berlari ke arahnya dengan dikejar oleh seorang lelaki bersenjata objek tajam yang meyerupai kapak dan cuba menetak pegawai polis itu.

Selepas menjerit “meniarap” tiga kali kepada Mohamad Hasnal, beliau memetik picu pistolnya dan melepaskan tembakan ke arah lelaki bersenjatakan kapak yang terjatuh di atas kaki Mohamad Hasnal.

Dia kemudian membantu membawa masuk Mohamad Hasnal ke dalam rumah nombor 19 dan melihat muka pegawai polis itu berlumuran darah, tangan kanannya hampir putus dan perut dan tangan kirinya terkena tembakan.

Ishak: Bagaimana keadaan Mohamad Hasnal semasa anda membawanya masuk ke dalam rumah nombor 19?

Mohd Mustafa Kamal: Tenat.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada Jumaat.

Komen


Berita Berkaitan