Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

`Anggota keselamatan negara sentiasa dihati kami’: KM

Hajiji Mohd Noor (ketiga kanan) menerima cendera kenangan ketika melawat ruang pameran TUDM di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah
Hajiji Mohd Noor (ketiga kanan) menerima cendera kenangan ketika melawat ruang pameran TUDM di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah

KOTA KINABALU – Jasa dan bakti anggota keselamatan negara sentiasa dihargai dan ia  diterjemahkan dalam pelbagai cara dalam mengiktiraf pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara.

Justeru, menyedari tanpa pengorbanan dan kesetiaan anggota keselamatan negara tidak dapat menikmati keamanan, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, kerajaan dan seluruh rakyat perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk menjaga keselamatan negara.

“Perlu diingat bahawa memelihara keamanan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua pihak meliputi pasukan keselamatan, penguatkuasa undang-undang, pemimpin dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfiri kepada anggota pasukan keselamatan di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Musa diwakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dolah serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Pusat.

Hajiji Mohd Noor (kedua kanan) disambut oleh Komander Datuk Abdul Rashid Harun (kedua kanan) ketika melawat ruang pameran kuih-muih di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah
Hajiji Mohd Noor (kedua kanan) disambut oleh Komander Datuk Abdul Rashid Harun (kedua kanan) ketika melawat ruang pameran kuih-muih di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. Foto Ille Tugimin/SayangSabah

Hajiji turut menyerahkan sumbangan kuih raya daripada pelbagai pihak kepada sembilan agensi pasukan keselamatan yang diwakili ketua setiap bahagian.

Dalam ucapannya, Musa berkata, kerajaan dan rakyat sentiasa mengenang budi dan mengingati pengorbanan anggota keselamatan yang berjauhan dengan keluarga kerana bertugas mempertahankan keamanan negara semasa musim perayaan.

“Meskipun sumbangan ini agak sederhana, tidak sebesar pengorbanan jasa bakti mereka, namum ia membuktikan bahawa anggota pasukan keselamatan sentiasa dihati kami, dikenang dan disanjung tinggi oleh kerajaan dan rakyat,” ujarnya.

Musa turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan bantuan serta pihak yang terlibat dalam misi bantuan bencana gempa bumi dan pasca bencana yang berlaku di Ranau, awal bulan lalu.

Beliau memuji penglibatan semua agensi kerajaan negeri dan Pusat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang kepada anggota keselamatan. –  oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan