Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,687

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ancam penggal tebusan

10:32am 05/05/2016 Pak Roshan 4148 views Global
SEDUTAN video menunjukkan tiga tebusan duduk di hadapan beberapa militan Abu Sayyaf.

SEDUTAN video menunjukkan tiga tebusan duduk di hadapan beberapa militan Abu Sayyaf.

Manila: Kumpulan Abu Sayyaf mengancam membunuh tiga lagi tebusan yang diculik di selatan Filipina, lebih seminggu selepas memenggal kepala seorang lelaki warga Kanada apabila tuntutan wang tebusan tidak diendahkan.

Dalam satu video yang disiarkan di Internet, tiga tebusan terdiri daripada lelaki warga Kanada, seorang dari Norway dan seorang wanita tempatan merayu kerajaan menyelamatkan mereka.

Enam lelaki lengkap bersenjata dilihat berdiri di belakang tiga tebusan berkenaan yang kelihatan ketakutan di satu kawasan hutan.

“Sekiranya tuntutan kumpulan ini tidak dipenuhi kami akan dibunuh seperti rakan kami John Ridsdel,” kata lelaki warga Norway, Kjartan Sekkingstad.

Kumpulan itu memenggal Ridsdel pada 25 April lalu sebelum kepala dan badan mangsa dicampak di wilayah selatan Filipina.

Abu Sayyaf sebelum ini menuntut wang tebusan berjumlah AS$6.3 juta (RM25.26 juta).

Pembunuhan Ridsdel mencetuskan kemarahan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau manakala Manila berikrar untuk menghapuskan kumpulan itu.

Seorang lagi tebusan warga Kanada, Robert Hall merayu kerajaan Filipina berhenti menyerang dan cuba membunuh mereka.

“Mereka (Abu Sayyaf) sangat bagus melaksanakan kerja itu (membunuh tebusan),” katanya.

Hall juga merayu kerajaan Kanada akur dengan tuntutan Abu Sayyaf.

Tebusan wanita warga Filipina, Marites Flor merayu pegawai dan pemimpin negara itu termasuk calon Presiden menyelamatkan mereka.

“Kami mahu dibebaskan dalam keadaan masih bernyawa,” ujarnya.

Semua tebusan berkenaan diculik di Pulau Samal di selatan Filipina sebelum dibawa ke kawasan hutan tebal di Sulu, kubu kuat Abu Sayyaf. – AFP/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan