Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ancam keluar dari PBB

10:07am 22/08/2016 Pak Roshan 40 views Global
DUTERTE

DUTERTE

Manila: Presiden Rodrigo Duterte semalam mengancam menarik Filipina keluar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila dia sekali lagi mengecam badan dunia itu kerana mengkritik peperangannya terhadap jenayah.

Lebih 1,500 orang terbunuh sejak Duterte menjadi presiden, menurut statistik polis negara itu.

Ia mencetuskan kritikan daripada PBB dan kumpulan hak asasi manusia.

Duterte, peguam yang terkenal kerana kata-kata pedas dan berbisa, berulang kali mendesak PBB tidak campur tangan dan semalam dia meningkatkan retoriknya.

“Mungkin kami terpaksa memutuskan untuk berpisah dengan PBB. Jika kamu, anak perempuan jalang, tidak tahu menghormati, maka saya akan meninggalkan kamu,” kata Duterte pada sidang akhbar di Davao.

Sidang akhbar itu diadakan kira-kira jam 1 pagi (waktu tempatan).

Duterte juga berkata, dia mungkin cuba untuk menubuhkan sebuah pertubuhan antarabangsa lain.

“Saya akan mempelawa sesiapa sahaja. Saya mungkin mempelawa China, negara Afrika,” katanya.

Duta khas PBB, Agnes Calammard, dalam rumusannya minggu lalu berkata, janji perlindungan dan hadiah untuk pasukan keselamatan yang membunuh suspek dadah mencabuli undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga mengkritik Duterte Jun lalu selepas Duterte berkata dalam kempennya dia akan membunuh 100,000 penjenayah dan mencampakkan mayat mereka di Teluk Manila.

Duterte sering menggunakan kata-kata kesat ketika berucap di khalayak ramai. Dia juga menggelar Pope Francis dan duta Amerika Syarikat ‘anak jalang.’

Beberapa hari selepas memenangi pilihan raya, dia mencaci PBB dengan berkata, badan dunia itu tak mampu menyelesaikan keganasan di Asia Barat dan Afrika.

Pagi semalam, Duterte berkata, PBB tidak melakukan kebaikan kepada Filipina, tidak mempedulikan program pengurangan kemiskinan atau membantu mangsa taufan dan bencana lain.

“Saya tidak peduli PBB. Mereka yang campur tangan,” katanya.

Pada hari dia mengangkat sumpah jawatan, Duterte menggesa rakyat negara itu membunuh jiran mereka yang menagih dadah.

Dan sehingga semalam, hampir 900 orang dibunuh oleh orang tidak dikenali dan 665 lagi oleh polis.

Ia peningkatan mendadak dalam kematian berkait dengan jenayah berbanding dengan sebelum Duterte menjadi presiden. – AFP/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan