Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ancam disembelih

10:02am 03/05/2016 Pak Roshan 1860 views Global
RETNO (kiri) bersalaman dengan sebahagian anak kapal yang dibebaskan Abu Sayyaf di Jakarta, semalam.

RETNO (kiri) bersalaman dengan sebahagian anak kapal yang dibebaskan Abu Sayyaf di Jakarta, semalam.

Jakarta: Seorang anak kapal warga Indonesia memberitahu, hampir setiap hari militan Abu Sayyaf mengancam untuk menyembelihnya sepanjang dia dan sembilan lagi rakannya diculik kumpulan itu.

Semua 10 anak kapal itu dibebaskan, kelmarin selepas lebih sebulan diculik kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina sebelum dibawa pulang ke Jakarta.

Julian Philip berkata, lapan militan yang memakai seragam polis Filipina menawan kapal tunda mereka dan mengikat semua anak kapal pada lewat Mac lalu.

“Semua anak kapal dibawa ke sebuah pulau dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Kami juga sering berpindah-randah kerana bimbang dikesan pihak berkuasa.

“Kami semua sangat tertekan kerana anggota militan sering mengancam untuk menyembelih kami,” katanya pada satu majlis di Kementerian Luar, di sini sebelum mereka disatukan dengan ahli keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, Julian memberitahu, kumpulan Abu Sayyaf tidak mencederakan mereka.

“Mereka sebenarnya tidak mahu seorang pun daripada kami mati kerana bimbang mereka tidak mendapat wang,” jelasnya.

Namun, Julian tidak tahu sama ada wang tebusan dibayar untuk pembebasan mereka.

“Kami tiba-tiba diarahkan menaiki sebuah kereta dan diminta untuk pergi ke rumah gabenor Jolo,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi juga mengelak menjawab soalan sama ada tebusan dibayar untuk membebaskan anak kapal berkenaan.

Kumpulan Abu Sayyaf jarang membebaskan tawanan melainkan wang tebusan dibayar.

Baru-baru ini, kumpulan Abu Sayyaf memenggal kepala seorang tebusan warga Kanada selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan tamat.

Kumpulan itu dipercayai masih menawan sekurang-kurangnya 11 lagi warga asing termasuk empat anak kapal dari Indonesia, empat lagi dari Malaysia dan masing-masing seorang dari Kanada, Norway serta Belanda. – AFP/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan