Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Anak OKU perlu dihantar ke sekolah pendidikan Khas- Rosimah

5:00pm 27/05/2016 Elezebeth Esther Onjining 60 views Tempatan
Rosimah bergambar kenangan bersama murid-murid pendidikan khas.

Rosimah bergambar kenangan bersama murid-murid pendidikan khas.

KOTA KINABALU- Ibu bapa yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU) disaran menghantar mereka ke sekolah pendidikan khas.

Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria berkata, ibu bapa tidak perlu malu mempunyai anak OKU kerana mereka bertanggungjawab dalam memastikan anak‐anak itu mendapatkan pendidikan sewajarnya.

“Anak‐anak golongan OKU ini perlu dihargai kerana mereka juga mempunyai perasaan untuk disayangi serta berhak mendapatkan pendidikan yang sama dengan mereka yang normal,” katanya.

Beliau berkata, golongan ibu bapa perlu tahu bahawa anak-anak yang mengalami sindrom Down atau OKU boleh dididik kerana kebanyakan mereka hanya menghadapi masalah lewat perkembangan daripada segi mental dan fizikal.

“Kanak-kanak ini boleh didaftarkan sejak lahir apabila disahkan mengalami sindrom Down. Mereka yang didaftarkan sebagai orang kurang upaya (OKU) boleh mendapat pelbagai keistimewaan termasuk daripada segi bantuan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Membara 2016 dan Lawatan ke Sekolah Pendidikan Khas, Tuaran, semalam.

Tambah beliau, ibu bapa perlu peka memantau perkembangan anak‐anak OKU dengan melibatkan mereka dengan aktiviti pendidikan yang boleh meningkatkan keupayaan mereka seperti dalam percakapan.

“Ibu bapa juga perlu memberi kepercayaan kepada anak- anak ini untuk mendapatkan pendidikan bagi membolehkan mereka berdikari pada masa akan datang,” katanya.

“Kerjasama yang padu antara guru‐guru sekolah dan ibu bapa juga penting dalam memastikan perkembangan anak‐anak OKU sentiasa dipantau untuk melihat keberkesanan tahap pendidikan,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan organisasi kerajaan yang lain dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk terlibat dalam menjalankan program yang memberi manfaat kepada anak‐anak OKU supaya mereka tidak berasa disisihkan oleh masyarakat luar.

Hadir sama Guru Besar Sekolah Pendidikan Khas Kota Kinabalu, Tuaran, Jaie Lantas serta Skuad Sayang Wanita UMNO Kota Kinabalu.

Seramai 80 murid-murid, guru-guru dan kakitangan menyertai program ini. Turut diraikan sambutan Hari Guru dan pemberian sumbangan wang. Murid-murid tersebut turut menyertai aktiviti sukaneka antaranya boling kelapa, tarik upih, musical chair dan beauty and the beast.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan