Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Anak negeri pulang bantu pasukan Sabah – Simunic

10:22pm 08/12/2015 Pak Roshan 542 views Berita Pilihan,Mutakhir,Sukan
PENGENDALI baharu skuad Badak, Vjeran Simunic pada sesi latihan bersama skuad Badak di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Eddiehazzuan Ab Wahid

PENGENDALI baharu skuad Badak, Vjeran Simunic pada sesi latihan bersama skuad Badak di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Foto Eddiehazzuan Ab Wahid

KOTA KINABALU: Pengendali baharu skuad Badak, Vjeran Simunic berharap semua pemain berasal dari Sabah yang bermain dengan pasukan lain supaya kembali mencurah bakti kepada negeri asal mereka.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, adalah menjadi harapan beliau untuk melihat 70 peratus daripada pemainnya adalah anak jati Sabah walaupun mengakui skuad yang lebih dikenali sebagai Sabah Rhinos masih memerlukan khidmat pemain tempatan lain.

“Saya harap pemain seperti Bobby Gonzales kembali ke negeri ini untuk membantu pasukan.

Kini terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), namun saya sangat berharap mereka dapat kembali menyarung jersi Sabah,” katanya ketika ditemui selepas mengendalikan latihan pertama bersama skuad Sabah di Stadium Likas, dekat sini, kelmarin.

Simunic berkata, beliau juga akan membawa masuk pemain import yang terbaik buat pasukan dan sedia berbincang dengan pihak persatuan berkaitan bajet serta sasaran Sabah musim depan.

“Sudah pasti sasaran adalah untuk naik ke Liga Super dan saya akan menggunakan segala pengalaman saya untuk membantu Sabah mencapai matlamat itu,” katanya. Sementara itu, Simunic berkata beliau memerlukan sekurang-kurangnya tujuh hari untuk menyesuaikan diri serta mengenali pemain yang ada sekarang.

Tugas mencabar pasti menanti beliau apabila skuad Sabah kini hanya memiliki kurang daripada 10 pemain senior manakala sebahagian lagi masih menjalani ujian pemilihan termasuk beberapa pemain yang kembali mencuba nasib bersama pasukan.

“Sebelum ini saya juga mengikuti perkembangan pasukan dan mereka (pasukan Sabah) memiliki pemain muda yang berbakat.

“Bagaimanapun, saya difahamkan pasukan ini telah dirombak dan saya harus menilai mana pemain yang perlu dikekalkan dan dibawa masuk,” katanya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan