Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Anak mata biru, coklat dan kelabu

6:22pm 18/05/2017 Pak Roshan 18319 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

RUSYDUDDIN Ronaldo Lee,18, (kiri) bersama adiknya Refnaldi Ronaldino Lee,16, serta Syahirah Batrisyia Lee, 3, (kanan) mempunyai keunikan mata berwarna biru ketika ditemui, di Putatan – Foto Izhari Ariffin

PUTATAN: Anak mata berwarna biru, coklat dan kelabu. Itu keistimewaan tiga beradik dari sini yang sering menarik perhatian ramai setiap kali keluar rumah.

Selain pernah diberi gelaran tertentu oleh rakan, Rusyduddin Ronaldo Lee, 18; Refnaldi Ronaldino Lee,16, dan Syahirah Batrisyia Lee, 3, sering disalah anggap kerana disangka memakai kanta lekap.

Rusyduddin Ronaldo, anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia pernah diberi gelaran ‘mata hantu’ oleh rakan ketika berada di Tahun Satu.

“Ketika mula bersekolah rendah, saya berasa amat rendah diri kerana kelebihan ini sering diperkatakan sehingga ada ketikanya saya bersembunyi bawah meja.

Masalah sama dihadapi ketika memasuki sekolah menengah apabila cikgu memanggil saya disebabkan mereka menyangka saya memakai kanta lekap.

“Selepas mendengar penjelasan daripada bapa, barulah pihak sekolah memahami situasi sebenar,” katanya yang memiliki sepasang mata berwarna biru ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, adiknya, Refnaldi Ronaldino tidak terlalu tertekan dengan situasi dilalui abangnya kerana orang sekeliling sudah biasa melihat abangnya sebelum ini.

“Saya bersekolah rendah dan menengah di sekolah sama dengan abang. Oleh itu, warga sekolah sudah biasa melihat keunikan abang dan akhirnya tidak hairan apabila saya memasuki sekolah sama.

“Berbeza dengan abang, saya mempunyai mata berlainan warna iaitu biru di sebelah kiri dan coklat pada bahagian kanan,” katanya.

Ibu mereka, Amy Sofea Wasli, 40, berkata selain anak kedua dan ketiganya, anak bongsu dalam keluarga, Syahirah Batrisyia Lee turut mempunyai kelebihan sama.

Amy Sofea berkata, dia dan suami, Rosli Abdullah, 63, bersyukur dengan kurniaan anak yang memiliki kelebihan dalam keluarganya dan tidak menolak kemungkinan keistimewaan itu diperoleh daripada sebelah keluarganya yang mempunyai susur galur campuran.

Ahad lalu, BH Online melaporkan, seorang budak lelaki, Kamarul Hisham Mustafa, 9, dari Kampung Bingkul di Beaufort, mencuri tumpuan ramai pada program dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memiliki sepasang mata berwarna biru. – BH ONLINE

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan