Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Amy Search Kecewa Hasil Seni Masih Dicetak Rompak

SEBAGAI seorang penyanyi, siapa yang tidak kecewa apabila karya hasil penat lelah diri sendiri dan juga pihak penerbit kemudian disalah guna dan dijual pula secara haram.

Penyanyi rock popular, Amy Search turut meluahkan rasa kesalnya terhadap sindiket cetak rompak yang masih berleluasa apabila album terbaharu kumpulan Search berjudul Katharsis turut menjadi mangsa ‘rompakan’ itu.

Lebih menyedihkan, album tersebut dijumpainya sendiri terjual secara terbuka di sebuah pusat beli belah di Melaka.

Melalui satu perkongsian yang dimuat naik olehnya di laman Instagram, Amy menyatakan rasa sedihnya apabila perkara ini masih berlaku walaupun setelah 37 tahun penglibatannya dalam industri seni.

Jelas Amy, perkara ini bukanlah baru berlaku, malah ia sudah menjadi masalah yang melanda industri hiburan negara sejak dia mula mengorak langkah bersama kumpulan Search lebih tiga dekad lalu.

“Dari album pertama kita dah buat kempen pasal cetak rompak, bayangkan dari tahun 1985 sampailah sekarang 2018.

“Hasil pendapatan dari cetak rompak pun meningkat dan hasil paling tinggi dikutip dari album Fenomena yang ada lagu Isabella. Masa tu, album terjual lebih 200,000 unit.

“Mana taknya, orang Cina dan India pun beli album tersebut malah diminati semua bangsa termasuk di Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Tak habis di situ, keluar pula filem Isabella dan Fenomena yang menjadi box office, pun kena rompak,” tulisnya lagi.

Menulis lanjut, Amy merasakan bahawa perkara ini tidak akan selesai selagi ada pihak yang membeli daripada mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Malah, Amy turut tidak menolak isu ini akan berterusan sampai bila-bila, gara-gara tindakan beberapa individu terbabit yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Kita bertungkus lumus bikin album ‘Search Katharsis’ sampai 700 jam tapi mereka dengan senang hati rompak hasil kerja seni kita dan jual tanpa segan silu.

Yang menjual berdosa dan yang membeli pun berdosa sebab yang membeli tau itu barang curi. Aku harap korang tak sokong cetak rompak,” tegasnya.

Memberikan pandangannya, Amy berkata sekiranya hukuman yang diberikan kepada pelaku-pelaku ini lebih berat, pasti mereka akan berfikir dua kali sebelum melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu.

“Kalaulah hukuman jika jual hasil seni negara secara haram ialah sebat tanpa bicara dari dulu tentu tak berani mereka jual. Kasihan hasil seni anak bangsa dirompak sejak zaman P.Ramlee lagi.

“Kita buat album pecah kepala otak bersengkang mata, bagi yang terbaik dari segi melodi, lirik, kulit album, bunyi dengan kos rakaman yang tinggi.

“Kalau dibandingkan dengan mereka, kosnya berapa sen sangat, silap-silap tak kena cukai sebab haram,” katanya.

Seperti yang diluahkan Amy, perkara ini turut berlaku sejak zaman seniman agung allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi dan akan terus menjadi masalah sekiranya ia tidak dibendung.

Rata-rata pengikut Amy di Instagram mengakui akan masalah ini, kebanyakan mereka menggesa pihak berwajib mengambil tindakan bagi menangani isu ini.

Ada juga peminat yang memanjangkan tulisan Amy ini kepada pengendali lamanInstagram milik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). – MYNEWSHUB.CC/EZ

Komen


Berita Berkaitan