Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Amy ‘hilang akal’

amysearch

TIDAK mahu Hits lampirkan kembali apa yang diluahkan Amy Search di ruang komen laman Instagram anaknya baru-baru ini. Cukup kasar dan mengejutkan sehingga ramai yang tidak percaya Amy sanggup menaip kata-kata sebegitu buat anak sulungnya, Nabila Huda.

Bagaimanapun buat penyanyi ini dia tidak menolak rasa amarah yang amat sangat membuatkan dia bertindak sedemikian rupa, sehingga lupa batas yang dilampauinya.

Tidak menyesal dengan apa yang berlaku, Amy tahu sebagai seorang bapa dia akan menanggung akibat dek perbuatan ini. Maksudnya di sini Amy tahu dia akan dihakimi masyarakat, namun bukan itu yang menjadi kepentingan buat dirinya memandangkan dia lebih senang menjadi diri sendiri.

Melihat hubungan anak-beranak ini, ada yang berpendapat Amy mempunyai hak untuk melampiaskan perasaan sebenarnya ketika itu. Tidak dinafikan tahap kesabaran seorang insan mempunyai batas, begitu juga Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman.

Kata Amy, antara sebab yang meletakkan dia dalam keadaan itu apabila agama menjadi permainan pengikut Nabila di laman sosialnya. Namun apakah rentetan dari kejadian ini akan memulihkan hubungan mereka, sukar untuk Hits mencari jawapan. Bagaimanapun jika sudah namanya ayah, Hits percaya Amy akan sentiasa memberi ruang buat Nabila untuk melihat kembali apa sebenarnya yang cuba di sampaikan seorang ayah.

“Saya tidak menyesal, saya mengambil sepenuh tanggungjawab dengan tindakan tempoh hari.

“Saya tidak kisah kalau orang tidak suka memandangkan ini adalah diri saya,” katanya.

Menurut Amy sebelum dia mengeluarkan kata-kata tersebut di ruangan komen laman Instagram Nabila, dia terlebih dahulu dihubungi berapa wartawan. Paling menyakitkan hati jelas Amy tentunya apabila ada yang mahu dia memberi kenyataan berhubung salah satu komen pengikut Nabila yang mahu anaknya itu bertukar agama, hanya kerana cara hidup lepas bebas Nabila.

“Pasal isu masuk Kristian itu sudah buat jantung saya ibarat terhenti seketika. Ditambah soal teman lelaki pula, saya terus jadi hilang akal. Saya tidak salahkan media, tetapi jujur saya katakan soal agama adalah sesuatu yang sangat sensitif dan saya sama sekali tidak akan kompromi soal itu,” katanya.

Enggan lagi dikaitkan terus dengan tindakan anaknya kelak, mulai sekarang tiada lagi kenyataan dari dirinya berkaitan Nabila. Percaya Nabila sudah begitu dewasa untuk melalui rentak hidup, dia lebih rela menumpukan perhatiannya kepada sesuatu yang lain.

“Lepas ini jangan harap saya akan beri apa-apa kenyataan lagi soal dia. Dia sudah cukup dewasa untuk menjawab semua soalan dari pihak media. Selepas ini kalau ada apa-apa sila tanya dia terus,” katanya.

Agak mengejutkan sebenarnya untuk penyanyi yang sudah terkenal sebagai antara penghibur yang suka mempraktikkan amalan Islam dalam hidupnya ini mencarut. Namun kata Amy sebab jelas dia terlanjur mengeluarkan kata-kata itu adalah mahu Nabila sendiri sedar ini akan memberi kesan buat karier lakonannya.

“Orang kata dia berbakat, saya mahu dia jaga karier dia. Rugilah kalau dia tidak jaga. Bukan saya tidak mahu ambil peduli langsung soal dia, tetapi saya mahu dia lebih bertanggungjawab kepada dirinya sendiri,” katanya.

Marahlah macam mana sekali, Amy akan kekal dengan pendirian hanya mahu yang terbaik buat semua anak-anaknya, termasuk Nabila. Malah kata Amy pintu rumahnya sentiasa terbuka buat Nabila, dan tiada sebab untuk dia terus membelakangi kasih sayangnya terhadap anaknya itu.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada 1 Muharam (4 November 2013) lalu. Sehingga kini saya hanya bertemu dengan cucu saya sahaja, anak Nabila. Pun begitu, sehingga kini pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk dia datang, saya tiada masalah,” katanya.

Dalam luahannya tempoh hari, Amy turut enggan mengulas apa-apa lagi, jelas Amy sehingga kini dia juga tidak tahu bahawa anaknya itu sudah memadam kesemua gambar dalam laman Instagram tersebut.

“Saya tidak mahu komen apa-apa, lepas ini tanya dia sahaja. Saya juga tidak tahu dia sudah memadamkan kesemua gambar dalam laman Instagram miliknya,” katanya.

 

Komen


Berita Berkaitan