Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Amerika Syarikat serah sistem Radio Laut VHF kepada Taman-taman Sabah

KUDAT, 19 Sept (Bernama) — Sistem Rangkaian Radio Laut VHF, sistem peralatan komunikasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, hari ini diserahkan kepada Taman-Taman Sabah (TTS) bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam meronda Taman Laut Tun Mustapha (TMP), kawasan perlindungan marin (MPA) yang terbesar di Malaysia.

Sistem Rangkaian Radio Laut VHF itu yang terdiri daripada unit Radio Repeater Set (VHF Radio Tower) yang ditempatkan di puncak Gunung Sinambung, Pulau Banggi, dan beberapa unit tangan, diterima oleh Pengurus TMP, Fazrullah Rizally Abd Razak yang mewakili TTS.

Penyerahan peralatan dari syarikat kontraktor, yang diamanahkan untuk membina kemudahan itu, kepada TTS disaksikan oleh Bradley Hurst dari Jabatan Negara Amerika Syarikat, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais dan Dr Rebecca Jumin dari WWF-Malaysia.

Berucap pada majlis itu Dr Jamili berkata sistem komunikasi marin itu kini menyediakan komunikasi langsung antara set radio dengan sangat berkesan.

“Sistem ini membolehkan operasi Taman Tun Mustapha meningkatkan prestasi rondaan bukan sahaja oleh Taman-Taman Sabah tetapi juga dalam kerjasama kami dengan agensi-agensi penguatkuasaan di dalam TMP.

“Dalam jangka masa panjang,sejajar objektif Pelan Strategik Pelan Strategik Sabah 2025, diharapkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan TMP dapat dipertingkatkan dalam semua aspek terutama dalam perlindungan pelbagai kehidupan,ke arah standard pengurusan terbaik peringkat antarabangsa , “katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Jamili berkata renger taman dan kira-kira 30 renger taman kehormat yang dilantik daripada komuniti terpilih di kawasan TMP akan dilengkapi dengan peralatan komunikasi bagi membolehkan mereka membuat laporan mengenai sebarang aktiviti haram seperti pengeboman ikan kepada agensi penguatkuasa.

Hurst dalam ucapannya berkata kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia gembira dapat memainkan peranan dalam meningkatkan penguatkuasaan dan pengurusan TMP sejak dua tahun kebelakangan ini, dan amat teruja dengan kerjasama pelbagai pihak.

Beliau berkata TMP adalah habitat unik di mana terdapat hutan bakau, rumpai laut dan terumbu karang, yang kesemuanya berfungsi sebagai tempat pembiakan penting bagi spesies marin pemastautin serta spesies migrasi seperti jerung.

“Perairan TMP menempatkan sekurang-kurangnya 82 spesies karang keras, 715 spesies ikan, 50 spesies moluska, 25 spesies siput dan 130 spesies rumpai laut. Terdapat sekurang-kurangnya 20 spesies ikan yu yang tercatat di kawasan TMP, serta tapak bersarang untuk penyu karah dan penyu hijau, dua spesies lumba-lumba, dan dugong.

“TMP tidak hanya penting untuk kepelbagaian biodiversiti, tetapi juga untuk tadbir urusnya, yang menandakan cara baharu pengurusan taman di Sabah,” katanya.

–BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan