Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Amaran Fenomena Air Laut Merah Di Perairan Labuan

red-tide2

LABUAN : Jabatan Perikanan Labuan (JPL) sedang memantau kualiti air di perairan pulau ini susulan kejadian fenomena air laut merah yang berlaku sejak minggu lepas.

Pengarahnya Anuar Salam Sulaiman berkata jabatan itu bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Labuan dalam memantau situasi itu dan memaklumkan perkembangan terkini kepada pengguna dan penjual ikan.

“JPL telah mengambil sampel air pada Jumaat lepas dan awal minggu ini di kawasan perairan di Patau-Patau, Rancha-Rancha dan Sg Miri Kiansam dan menghantarnya ke makmal Pusat Penyelidikan Perikanan Likas untuk dianalisis.

“Kami berharap dapat mengetahui keputusan analisis itu dalam waktu terdekat dan untuk menentukan jenis hidupan laut yang bahaya untuk dimakan,” katanya di sini Selasa.

Katanya setakat ini tiada kes keracunan kerang-kerangan paralitik (PSP) dilaporkan.

Air laut merah merujuk kepada warna kemerah-merahan yang dikeluarkan oleh plankton beracun dan hidupan marin yang memakan plankton tercemar itu yang telah mengakibatkan kematian di Sabah pada awal 1980-an. Fenomena turut dikesan berlaku di perairan Filipina.

“Kami menjangkakan fenomena air laut merah ini akan berlaku selama dua hingga tiga minggu dan kami akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” kata Anuar Salam.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Pengarah Jabatan Kesihatan Dr Ismail Ali berkata orang ramai dinasihat berhenti makan apa juga jenis kerang-kerangan atau dwicangkerang dengan serta merta.

Dwicangkerang termasuk tiram, kerang, kupang, siput dan sebarang jenis makanan laut jenis kerang-kerangan dan ikan seperti pelagik, selayang, basung, kembong dan rumahan.

Ketika ini tiada ubat atau antidot untuk PSP, katanya.

Beliau berkata simptom awal PSP selepas makan makanan laut termasuk bibir berdenyut, sakit kepala, pening, muntah dan cirit-birit.

“Dalam keadaan teruk, pesakit boleh mengalami sakit dada dan kekejangan otot perut yang boleh membawa maut dalam tempoh dua hingga 23 jam,” katanya.

— BERNAMA

 

Komen


Berita Berkaitan