Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Amanat Merdeka Satu Amanah Rakyat Perlu Laksana Sebaik Mungkin

merdeka najib

KUALA LUMPUR — Amanat Merdeka yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi satu amanah yang perlu dilaksana sebaik mungkin oleh rakyat demi kesejahteraan dan pembangunan negara. Rata-Rata mereka percaya setiap individu harus memainkan peranan untuk merealisasikan tanggungjawab masing-masing untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengutamakan solidariti dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat harus diperkukuh dalam memastikan keamanan dan kedamaian negara.

“Sebagai warganegara, kita juga harus berpegang teguh kepada konsep 1Malaysia dan kesederhanaan kerana itu juga merupakan salah satu cara kita memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perutusan Hari Kebangsaan ke-57.

Dalam perutusan itu, perdana menteri menggariskan tiga Amanat Merdeka dalam mengukuhkan solidariti rakyat, memupuk keyakinan rakyat dan mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera untuk generasi akan datang.

Naib Presiden Persatuan Pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Lee Haozhe dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) Ahmad Muzammil Idris pula melihat pemimpin muda mampu merealisasi amanat yang disampaikan Perdana Menteri menerusi aktiviti universiti.

Lee dan Ahmad Muzammil juga bersetuju sebagai pemimpin pelajar di institusi pengajian tinggi, mereka bertanggungjawab mencipta suatu platform bagi membolehkan semua pelajar bersama-sama tanpa mengira bangsa serta agama.

“Perpaduan perlu dipupuk di menara gading lagi,” kata Ahmad Muzammil.

Sementara itu, ikon fesyen Malaysia Tengku Muhammad Azwan Shah atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok berkata fesyen mampu mengubah mentaliti individu kerana ia merupakan satu seni.

“Saya sendiri berikan banyak elemen kepada anak muda tentang fesyen… Ia merupakan satu seni, melalui seni ini juga ia sekali gus mampu mengubah mentaliti dan cara pemikiran anak-anak muda ini,” katanya.

Penggiat seni Norman Abdul Halim pula percaya adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk merealisasikan amanat Perdana Menteri dalam cara yang dilihat sesuai oleh mereka.

Katanya, beliau sebagai penggiat industri kreatif boleh menzahirkan rasa cinta kepada negara serta memupuk solidariti menerusi karya seperti lagu dan produk animasi.

Penyanyi dan penulis lagu Amanda Amani pula melihat amanat Perdana Menteri sebagai perkara yang sedang direalisasi rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka.

Baginya, solidariti antara semua lapisan rakyat paling ketara tahun ini ketika negara diuji pelbagai peristiwa malang terutama yang membabitkan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 dan MH17.

Sementara itu, penyerang skuad Harimau Malaya Mohd Safee Mohd Sali berkata sebagai ahli sukan yang membawa nama negara pada setiap perlawanan, semangat solidariti dan kebersamaan sentiasa tersemat dalam diri setiap pemain.

“Apa yang Perdana Menteri amanahkan kepada semua rakyat Malaysia sebentar tadi sudah lama kami, para atlit, tanamkan dalam diri ketika berjuang di atas padang manakala segala perkembangan dalam negara turut kami ikuti sepanjang masa,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan