Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Amalan perkongsian budaya, permuafakatan bukan bermusim

Sapawi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis rumah terbuka tersebut.
Sapawi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis rumah terbuka tersebut.

KOTA KINABALU – Perkongsian budaya dan permuafakatan yang diamalkan wajar dikembangkan kepada amalan kehidupan seharian dan tidak hanya tertumpu dalam konteks perayaan.

Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berkata, ia penting bagi memastikan keamanan dan kestabilan negeri ini terus kukuh dan keharmonian terus dinikmati.

“Keunikan negeri ini adalah keharmonian masyarakat berbilang bangsa yang hidup bersama, berkongsi segalanya terutama budaya dan kerana inilah kita dapat melihat semua bangsa bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada Majlis Meriah Aidilfitri Kumpulan Yayasan Sabah, di sini semalam.

Sapawi berkata, amalan rumah terbuka yang dianjurkan telah membuka ruang ke arah memperkukuhkan lagi permuafakatan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan seterusnya menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan amalan rumah terbuka yang dianjurkan perlu dipastikan agar ia tidak mengundang pembaziran, sebaliknya menjadi pentas ke arah memperkukuhkan silaturrahim sedia ada.

Justeru itu, katanya, penganjuran majlis itu yang turut diadakan dengan majlis pemilihan wakil pekerja Majlis Bersama Jabatan (MBJ) membantu mengelak pembaziran dengan menjimatkan kos.

“Dua program dalam satu majlis seumpama ini turut membuka peluang kepada kakitangan luar daerah untuk bersama sama staf di ibu pejabat bagi meraikan Aidilfitri dan ini membantu menceriakan serta memeriahkan majlis seumpama ini,” katanya lagi.

Sambil mengucapkan Aidilfitri, Sapawi berharap ruang pertemuan itu akan mengeratkan lagi kerjasama dan persefahaman dalam kalangan kakitangan organisasi itu untuk terus bergerak maju.

Katanya, untuk menjadikan KYS sebagai organisasi yang terbilang, ia bukan hanya memerlukan komitmen setiap kakitangan organisasi itu, tetapi juga semangat bekerja dalam satu pasukan. – SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan