Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Alumni sekolah berperanan bantu tingkat pendidikan

Musa Aman (tengah) berkongsi bersama bekas pelajar St. Paul Beaufort, memotong kek dalam  Majlis Perhimpunan Semula  dan Makan Malam Bekas Pelajar St. Paul, Beaufort di Dewan Hakka, Likas. - foto Alex Mairin
Musa Aman (tengah) berkongsi bersama bekas pelajar St. Paul Beaufort, memotong kek dalam Majlis Perhimpunan Semula
dan Makan Malam Bekas Pelajar St. Paul, Beaufort di Dewan Hakka, Likas. – foto Alex Mairin

KOTA KINABALU – Penekanan terhadap pendidikan sangat penting dalam usaha kerajaan mencapai matlamat membina dan melahirkan generasi masa depan berilmu dan mampu membawa kemajuan sosial dan ekonomi negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, menerusi pendidikan sesebuah keluarga itu dapat mengubah kehidupan menjadi lebih baik secara kolektif, sekaligus membantu negara agar lebih progresif.

“Kerajaan negeri dan Pusat bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan taraf pendidikan di negara ini termasuk menggalakan lepasan sekolah mengambil kursus kemahiran bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam negara seperti projek industri hiliran minyak dan gas,” katanya ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Semula dan Makan Malam Bekas Pelajar St. Paul, Beaufort di Dewan Hakka, Likas di sini malam ini.

Majlis anjuran Persatuan Alumni St. Paul Beaufort itu turut dihadiri Presidennya, Datuk Chin Chee Kee dan kira-kira 450 bekas pelajar sekolah berkenaan.

Musa yang juga bekas pelajar sekolah tersebut juga memuji usaha alumni berkenaan kerana berjaya mengadakan majlis makan malam dan perhimpunan semula pelajar sekolah itu.

Menurut beliau, walau pun telah lama meninggalkan alam persekolahan, bekas pelajar sekolah itu tetap akrab dan terus mengekalkan hubungan persahabatan dan perpaduan sesama mereka.

Katanya, pengalaman yang dilalui menjadi sebahagian daripada memori kehidupan yang menyumbang kepada pencapaian dan kejayaan bekas pelajar sekolah itu.

Dalam pada itu, Musa turut memuji pendekatan yang diambil oleh komuniti Cina di negeri ini kerana memberikan penekanan penting terhadap aspek pendidikan dalam kalangan mereka terutama generasi muda.

“Saya ingin tekankan di sini bahawa pendidikan merupakan proses pengetahuan jangka panjang dan berterusan. Saya berharap semua pihak terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan,” ujarnya.

Sementara itu, Chee Kee berkata, St. Paul kini berusia 60 tahun dan ia berjaya melahirkan nama-nama besar alumni sekolah itu seperti Musa Aman dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun.

Katanya, alumni sekolah itu yang terdiri daripada guru-guru berbilang kaum akan bergiat aktif dan memainkan penting dalam memotivasikan generasi muda agar berjaya pada masa depan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan