Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,666

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Alu-Alukan Pelantikan Abdul Rahman Ke JPM

5:55pm 28/06/2016 Pak Roshan 303 views Mutakhir,Nasional

salleh-1-600x366

 

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak mengalu-alukan rombakan kabinet yang diumumkan perdana menteri, semalam terutama pelantikan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Salleh, pelantikan Abdul Rahman yang akan bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi membolehkannya merancang atau mencadangkan kepada perdana menteri berkaitan pembangunan ekonomi di Sabah.

“Kita berharap beliau (Abdul Rahman) sebagai pemimpin dari Sabah akan menggunakan kedudukannya untuk membantu perdana menteri merancang pembangunan ekonomi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Program Pengajian Mod Eksekutif antara Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Salleh turut merakamkan penghargaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menamakan Anggota Parlimen Silam Sabah, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Katanya pelantikan itu memastikan suara wakil rakyat Sabah ramai dalam Kabinet selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan Julai tahun lalu.

Dalam sidang media yang sama, Idris berkata percaturan yang dibawa Najib kali ini dalam barisan Kabinetnya adalah tepat dan mampu memastikan kerajaan dapat berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat.

Katanya, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang rombakan itu kerana perdana menteri sebagai ketua Kabinet lebih mengetahui keperluan dan kebolehan mana-mana pemimpin untuk berkhidmat dengannya.

Program Pengajian Mod Eksekutif antara Jasa dan UUM itu menawarkan peluang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Doktor Falsafah kepada pegawai Jasa terpilih.

Sebanyak 140 pegawai Jasa dikenal pasti dan berminat mengikuti program kerjasama itu yang bertujuan memperkasa dan meningkatkan kemampuan pegawai-pegawai Jasa dalam dalam mendepani cabaran semasa tugas dan tanggungjawab mereka.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata perdana menteri mempunyai hak mutlak untuk melantik sesiapa sahaja menganggotai Kabinetnya.

Najib telah memilih calon yang tepat, katanya.

“Mereka bukan sahaja berkebolehan malah boleh bekerja dengan perdana menteri sebagai satu pasukan demi melicinkan lagi agenda pembangunan negara,” kata Azlan dalam kenyataan ringkas hari ini bagi mengulas rombakan Kabinet semalam.

Azlan mengharapkan rakyat memberi sokongan padu kepada Kabinet baharu Najib dalam usaha terus membina Malaysia ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan