Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,792

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Allah S.W.T. Ingin Berikan Yang Lebih Baik

3:35pm 14/12/2015 Zakir Sayang Sabah 49 views i-Muslim
thinkdobepositive

Gambar Hiasan

Suatu hari, Rasul s.a.w. berjalan lalu bertemu dengan seorang wanita sedang menangis di sisi kubur, maka baginda menyampaikan pesan ringkas.

“Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah !”

Barangkali kerana terlalu pedih menanggung derita musibah kehilangan orang tersayang , maka dibalasnya kepada Nabi, “Pergilah kau dari diriku. Kau tidak merasai apa yang dtimpakan ke atasku !”

Baginda pun berlalu dari situ. Lalu seorang lelaki di situ dan mengkhabarkan kepada wanita itu bahawa susuk tubuh tadi adalah baginda Rasul s.a.w.

Terkejut wanita itu lalu terus berkejar ke pintu rumah Rasul s.a.w. Dalam keadaan kerisauan, dia berkata kepada baginda, “Ya Rasulullah, saya tidak mengenali dirimu.”

“Sesungguhnya kesabaran itu adalah pukulan pertama.” [1]

 

Ketika Kita Ditimpa Musibah

Ketika kita ditimpa musibah, apakah perkara paling awal terlintas pada diri kita?

Biasanya, tidak mudah untuk kebanyakan kita bersabar. Selalu bila diri kita dihentak dengan musibah, jiwa kita akan merasa sesak dan susah sehingga kadangkala menyebabkan perkara paling awal timbul dalam benak fikiran sesetengah orang, kenapa dia yang ditimpakan musibah itu, kenapa tidak orang lain.

Tidak mudah, tetapi pasti ada hikmahnya di balik setiap musibah.

Allah s.w.t. mahu memberikan yang lebih baik.

Ya, yakin dengan itu, dan kita akan terus positif bergerak dalam hidup.

 

Gantian Allah Yang Lebih Baik Menantimu

Untuk bersabar di kala musibah bagaikan menelan sesuatu yang pahit. Terasa susah mahu dihadam, terasa payah mahu ditelan.

Namun, tetaplah bersabar walau sepahit apapun ujian yang menimpa dirimu.

Bukan sengaja Allah mahu menyusahkan kamu. Bukan sengaja Allah mahu membebankan kamu.

Yakinlah bahawa ketika Allah menguji dirimu dengan musibah, Dia sedang menilai kepercayaan dirimu terhadap-Nya. Kalau kamu terus percaya kepada-Nya, maka kamu lulus ujian.

Yakinlah bahawa ketika Allah menghantar musibah menemui dirimu, Dia hanya mahu agar kamu terus sedar dan tidak lalai, kembali rapat kepada-Nya.

Yakinlah bahawa ketika Allah mengujimu dengan sesuatu yang kamu rasakan berat dan susah menanggungnya, Allah s.w.t. mungkin sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik dan lebih menyenangkan dirimu di masa depan.

“Tidaklah ada hamba yang diuji dengan musibah maka dia berkata :

Sesungguhnya kita ini untuk Allah dan kepada-Nya jugalah kita akan kembali. Ya Allah, berilah ganjaran kepadaku atas musibah yang menimpaku ini, dan gantikanlah untukku yang lebih baik darinya (apa yang telah hilang dari diriku ketika musibah menimpa)

Melainkan Allah akan memberikan ganjaran kepada musibah yang menimpanya dan menggantikan sesuatu yang lebih baik darinya (apa yang dia telah kehilangan).

Maka, Ummu Salamah berkata : Setelah Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata seperti mana yang diajarkan oleh Rasul s.a.w. maka Allah benar-benar menggantikan aku dengan sesuatu yang lebih baik darinya (kehilangan suami lama) iaitu Rasul s.a.w. [2]

 

Yakinkah Kita ?

Bukankah apa yang menimpa Rasul s.a.w. dan para sahabat ketika diseksa dan ditindas di kota tempat kelahiran mereka sendiri sehingga membuatkan mereka harus terpaksa berhijrah meninggalkan Makkah itu adalah satu musibah? Lalu, tidakkah kita melihat apakah yang telah Allah gantikan untuk mereka di masa depan mereka? Allah berikan hadiah yang lebih baik melalui kekuatan solidariti yang lebih kuat untuk Islam, kekuatan masyarakat dan pembinaan negara dan pelbagai lagi hadiah-hadiah besar lain.

Mereka itu sudah tentulah menyayangi tempat asal dan kelahiran mereka, tetapi kerana mereka yakin dengan Allah s.w.t., bersabar dan terus positif, maka musibah itu dilalui dengan penuh kekuatan jiwa sehingga banyak kebaikan yang berganda datang kepada mereka selepas itu.

Ingatkah kita pada apa yang pernah menimpa Yusuf a.s. ketika baginda dikhianati oleh adik-beradiknya sendiri, dicampak ke dalam telaga sehingga dikutip oleh saudagar yang menyebabkan baginda terpisah jauh terus daripada ayahnya, Yaakub a.s. selama beberapa tahun lamanya. Namun, musibah itu tidak menghilangkan keyakinan Yusuf terhadap Tuhannya, terus-menerus baginda berjalan dan berjuang dalam hidupnya sehingga Allah menghadiahkan kepada baginda sesuatu yang lebih baik di masa depannya.

Siapa yang sangka seorang anak kecil yang dikutip dari telaga dalam, terpisah jauh dari ayahnya, tidak kenal susur galurnya, tetapi telah menjadi seorang yang berwatak penting dalam pentadbiran Mesir.

Percayakah kita akan janji-janji Allah?

Yakinkah kita dengan Allah?

Letakkanlah percaya kita kepada-Nya, bersabar, positifkan minda dan teruskan berjalan. Musibah yang kita rasa berat pada hari ini mungkin saja boleh bertukar menjadi ringan pada esok hari jika Allah bersama kita.

Kekuasaan Allah mengatasi kemampuan dan daya kita.

Untuk berdepan dengan musibah itu dalam keadaan kita berseorangan, kita memang akan terasa susah dan sesak dada mendepaninya. Namun, bila Allah ada bersama dengan kita, maka segala urusan menjadi ringan dan terasa mudah menempuhinya.

 

Penutup : Positif Terus Pada Allah

Allah s.w.t. ingin berikan sesuatu yang lebih baik kepadamu ketika Dia mengujimu dengan musibah.

Namun, Dia mahu melihat sejauh mana kamu percaya pada-Nya, benar-benar yakin pada-Nya.

Mungkinlah sesuatu yang lebih baik itu tidaklah semestinya kita dapatkan di dunia, mungkin kita dapatkannya di akhirat. Namun, Allah s.w.t. pasti tidak akan mensia-siakan kita atas apa yang telah diujinya terhadap kita.

Positif terus pada Allah. Bersabar kala diuji. Tempuhilah ia dengan jiwa yang besar dan hati yang kuat.

Ada kemanisan yang tersembunyi di celah-celah kesusahan.

Ada juga kemanisan yang didapatkan di hujung kejayaan kita menempah kesusahan.

Semoga kita tetap terus optimis, bahawa dengan Allah, masa depan kita tetap kan terus bahagia !

[1] HR Bukhari

[2] HR Muslim

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan