Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Allah lebih menyayangi Mohammad Shaiful

MOHAMMAD Shaiful Bukhari. – Foto Ihsan Pembaca

 

BELURAN: Kematian isteri tahun lalu masih terasa, kini anak sulung yang menjadi harapan keluarga pula menyusul pada detik hampir sama menambahkan lagi pilu buat Amat Saruna sebagai suami dan ayah.

“Hari ini genap setahun ibunya meninggal dan semalam anak pula meninggalkan saya,” kata Amat sebak sebaik dimaklumkan berita kematian mengejut anaknya, Mohammad Shaiful Bukhari, 25.

Mohammad Shaiful dari Kampung Muanad Satu di sini, antara dua pelajar Malaysia yang maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Pekanbaru, Riau, Indonesia, malam tadi.

Amat berkata, beliau menerima berita mengenai kemalangan anaknya itu malam tadi dan jenazah Mohammad Shaiful dijangka dibawa balik dan tiba di Kuala Lumpur, pada jam 6 petang ini.

Katanya, anaknya itu berada di tahun akhir pengajian dalam bidang syariah dan undang-undang di Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim PekanBaru Riau di Pulau Sumatera dan sepatutnya menggenggam ijazah pada Ogos depan.

“Besar harapan saya kepada arwah, namun Allah lebih menyayanginya. Saya tidak dapat gambarkan kesedihan saya,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 petang waktu tempatan, Mohamad Shaiful dan Ameer Hakimi Azman, 20, menaiki sebuah motosikal dilaporkan terlanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan di Pekan baru.

Mohamad Shaiful meninggal dunia ketika dirawat di Rumah Sakit Aulia pada jam 5 petang, manakala Ameer Hakimi berasal dari Pulau Pinang disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital jam 3.35 petang.

Amat berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu pada Mac lalu ketika pulang bercuti di kampung sebelum kembali semula ke Indonesia pada 17 Mac.

Katanya, jenazah anaknya dijangka dibawa menaiki pesawat esok pagi ke Sandakan untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Muanad Satu, di sini. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan