Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,777

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Allah Jauh?

11:13pm 17/12/2015 Zakir Sayang Sabah 80 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Kenapa kita sering melakukan dosa dan maksiat? Berulang kali pula tu. Tanpa segan, tanpa silu.

Kita tahu bahawa maksiat dan kemungkaran itu salah, tapi kenapa kita melengah-lengahkan taubat kita?

Mungkin kerana kita rasa Allah SWT itu jauh. Lambat hendak dicapai. Dan mungkin kerana rasa jauh itu, kita rasa Allah tak nampak? Entah.

Kenapa kita, jarang berdoa dan menggantungkan harapannya kepada Allah dengan bersungguh-sungguh?

Mungkin kerana kita merasakan Allah SWT itu jauh. Kita tidak nampak Allah, membuatkan di dalam diri kita, seakan wujud perasaan kurang yakin denganNya. Seakan-akan Allah itu sangat jauh dan mungkin lambat sampai untuk membantu kita, memakbulkan impian dan harapan kita.

Kenapa kita, dalam mengharungi kehidupan ini, tidak mampu hendak mengaitkan seluruh kehidupan kita dengan Allah?

Mungkin kerana kita rasa Allah SWT itu jauh. Jadi kita fikir, tiada makna mengaitkan urusan hidup dengan sesuatu yang jauh. Sesuatu yang tidak kita nampak dan lihat. Yang entah gembira atau tidak dengan kejayaan kita. Yang entah sedih atau tidak dengan kebencanaan yang menimpa kita. Yang entah hendak memberi ganjaran atau tidak dengan kebaikan kita.

Kerana kita rasa Allah SWT itu jauh, maka bila kita gundah atau resah, maka kita berlama-lamaan di dalam perasaan yang menyempitkan itu.

Namun, apakah benar Allah SWT itu jauh?

Jawapan Allah SWT sendiri

Ini masalah hubungan antara kita dengan Allah SWT. Kita di pihak yang mengharap, dan pemberinya adalah Allah. Maka saya kira, layaklah jika saya gunakan jawapan Allah SWT sendiri untuk hal ini. Sebagai jawapan terhadap perasaan-perasaan kita tadi.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentangKu, maka sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al Baqarah ayat 186.

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya.” Surah Qaaf ayat 16.

“Apakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kami. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, digoncang (dengan berbagai cobaan). Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, bilakah akan datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Mungkin akan ada yang membahaskan, apakah rapat Allah SWT ini bermaksud memang Allah itu benar-benar di sebelah kita, atau hanya ilmu Allah SWT sahaja yang rapat dengan kita?

Untuk saya, saya tidak suka membahaskan hal itu. Sudah cukup pada saya, saya menerima bahawa Allah SWT itu amat dekat dengan saya. Saya tidak peduli sama ada benar-benar Allah yang berada dekat dengan saya, atau yang dekat dengan saya ini hanyalah ilmu-Nya. Kerana jika saya berada dalam salah satu keadaan itu, tiada apa pun kekurangan untuk saya.

Yang penting, Allah kata  kepada kita – Sesungguhnya Aku amat dekat…

Dan Allah SWT itu tidak pernah memungkiri kata dan janji-Nya.

Pada saya, habis setakat itu. Allah nak dekat dengan saya macam mana, itu urusan Dia.

 

Masalah iman sebenarnya

Allah telah menguar-uarkan bahawa Dia amat dekat. Dia juga berkata bahawa, Dia tidak akan memungkiri janji dan kata-Nya.

“Padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya.” Surah Al-Hajj ayat 47.

Justeru, hendak merasa keberadaan Allah SWT itu dekat atau jauh, terpulang kepada keimanan kita. Hendak yakin atau tidak Allah itu dekat, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Menngetahui, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, itu semua terpulang kepada kita.

Tiada paksaan dalam hendak mengimani semua ini. Tiada paksaan di dalam melaksanakan tuntutan Allah. Tapi, kebenaran itu tetap tidak akan berubah dengan pilihan kita. Kalau kita memilih untuk tidak percaya sekalipun, kebenaran bahawa Allah SWT itu amat dekat tidak akan terubah.

Hatta, kalau satu dunia ini tidak beriman akan kewujudan Allah, Allah itu tetap wujud. Yang beriman tetap akan masuk syurga walau seluruh dunia menyeksanya. Yang tidak beriman tetap akan masuk neraka walau seluruh dunia menyayanginya.

Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.

Namun tanda kewujudan Allah, keberdekatannya dengan hamba-Nya, sudah terbukti sebenarnya. Kan? Saya yakin ramai orang pernah merasa.

Sekarang pilihan dibuka. Siapa hendak beriman dengan keimanan yang sebenarnya?

Allah itu dekat. Dia tidak jauh.

Keimanan inilah yang membantu kita dalam langkah seterusnya. Bila yakin bahawa Allah itu bukan sekadar ada, malah dekat, sentiasa memerhati, mendengar dan memberikan sokongan, maka dunia ini akan mampu kita lalui dengan baik, segala perintah-Nya mampu kita jalankan dengan kemas.

Siapa yang susah bila dia berdua? Tambahan bila yang bersamanya itu adalah Yang Tidak Terkalahkan Oleh Sesiapa?

Sebab itu, kalau kita sorot kembali dakwah Rasulullah SAW, masalah keimanan ini adalah yang baginda selesaikan terlebih dahulu.

Nah, bagaimana keimanan kita?

 

Bila sudah yakin

Bila kita sudah yakin bahawa Allah SWT itu amat dekat, maka hilanglah segala resah gelisah. Susah senang dalam hidup ini kita akan harungi dengan tabah. Bila sedih kita ada tempat mengadu, bila gembira kita ada tempat bersyukur. Bila susah kita ada tempat nak minta tolong, bila senang kita ada tempat untuk luahkan kesenangan kita.

Kita juga akan rasa malu untuk membuat kerosakan dan kemungkaran. Ya, bayangkan anda mencuri di hadapan orang ramai. Adakah anda meneruskan pencurian anda dalam keadaan dilihat? Begitulah apabila kita yakin Allah itu dekat. Tidak segan kah anda berbuat maksiat dengan pemerhatian-Nya?

Kalau kita terbuat juga salah, dosa, maksiat, mungkin teralpa, terlalai atau jatuh dalam kecuaian, maka kita dengan keyakinan bahawa Allah SWT itu dekat, akan segera kembali kepada-Nya, segera meminta keampunan daripada-Nya. Terasa malunya diri, bermaksiat di hadapan-Nya, dalam pemerhatian-Nya.

Sebab itu Ibrahim Adham pernah berkata kepada seorang lelaki yang ingin bermaksiat:

“Kamu boleh bermaksiat, dengan syarat kamu cari satu tempat untuk berlindung dari pandangan Allah SWT”

Di manakah kita hendak cari tempat itu? Semuanya yang ada dalam kehidupan ini, hatta sempadan dunia ini sekali pun, semuanya di dalam liputan kekuasaan pemerhatian Allah SWT. Allah SWT itu, berkuasa atas segala-galanya.

“Dia meliputi segala sesuatu.” Surah Fushilat ayat 54.

Kalau kita gundah, jangan segan menangis di hadapan-Nya. Dia amat dekat, pertolongannya sentiasa ada. Bila susah, segera mengadu kepada-Nya. Dia lebih dekat dengan kita daripada sesiapa yang dekat dengan kita.

Bila sudah yakin, semua ini anda akan rasa kenikmatannya.

 

Saya dah buat, tapi tak dapat bantuan pun

Ya. Kadangkala, ada situasi, Allah SWT melambatkan bantuan-Nya. Itu adalah ujian. Ujian menguji keimanan kita. Kadangkala, Allah SWT tidak memberikan kita apa yang kita mahu. Namun siapakah kita hendak demand dengan Allah? Kita sendiri tidak tahu apa yang buruk dan baik sebenarnya untuk kita. Allah SWT itu lebih mengetahui.

Sebab itu saya bangkitkan masalah keimanan terlebih dahulu. Yakin kah kita bahawa segala apa yang Allah atur, beri kepada kita adalah yang terbaik?

Jangan risaukan natijah. Yang kita perlu risaukan adalah usaha. InsyaAllah, selepas usaha, segala natijah yang Allah beri adalah yang terbaik. Yakin dengan itu, semua kesusahan, kegundahan, keresahan, akan selesai.

Cuma mungkin, kita hendak rasa apa yang Allah atur itu terbaik, lambat sedikit. Kita tiada pengetahuan seperti Allah SWT. Mungkin kita hanya akan tahu perkara itu baik kepada kita, 10 tahun akan datang. Namun saya yakin, kita akan menyedari.

 

Penutup: Maka jangan lengah merapati-Nya

Maka, apakah masih pantas untuk kita berlengah-lengahan terhadap Allah SWT?

Allah amat kasih dan cinta dengan kita. Sangat dekat. Kenapa kita tidak boleh membuat permulaan, walaupun dengan langkahan kecil untuk mendekati-Nya? Kedekutnya, bakhilnya, tidak malunya kita berlagak sedemikian rupa. Sedangkan Allah SWT yang memiliki segalanya merapati kita. Kenapa kita yang memerlukan Allah SWT tidak bergerak mendekati-Nya?

Kita hanya perlu bergerak selangkah, Allah mendekati kita seribu langkah. Kita hanya perlu berjalan merapati Allah, Allah akan mendekati kita dalam keadaan pantas.

Ya Allah, apakah ada lagi yang sebaik Engkau dalam dunia ini?

“Cukuplah bagi kami Allah, dan Dia adalah sebaik-baik wakil(pengurus)” Surah Ali-Imran ayat 173.

Jangan lengah. Nanti kalau peluang benar-benar hilang(mati, kiamat) baru hendak tergadah.

Mari kita rasa Allah dekat dengan kita. Hidup benar-benar dengan perasaan bersama-Nya. Percayalah cakap saya, orang yang punya perasaan ini, dia sentiasa akan berjaya.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan