Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ALIJUS SIPIL PRESIDEN BAHARU SAFA

Presiden SAFA, Alijus Sipil (empat dari kiri, duduk) bersama dua Timbalannya, Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria serta ahli majlis tertinggi SAFA selepas pemilihan pada Kongres Tahunan (Tahun 2018) Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) di Likas Square, Likas Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

KOTA KINABALU: Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil dipilih sebagai presiden baharu bagi penggal 2018-2022 dalam kongres tahunan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) hari ini.

Ini juga adalah kali pertama buat sekian lamanya, Safa bukan lagi diterajui oleh pemimpin politik.

Dalam pertandingan satu lawan satu dengan pemangku presiden Datuk Yusoff Kassim di Likas Square di sini, Alijus yang merupakan bekas setiausaha agung mendapat 39 undi manakala lawan beliau hanya memungut 13 undian daripada 52 orang perwakilan dari 26 zon gabungan Safa.

Jawatan presiden kosong selepas penyandangnya, Tan Sri Musa Aman yang menang tanpa tanding pada awal tahun ini, meletak jawatan selepas Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.

Bagi jawatan timbalan presiden 1 dan 2,  muka baru, Hamid Apdal dan mantan pengurus pasukan Sabah beberapa musim lalu, Datuk Abdul Rahman Zakaria menang dalam pertandingan empat penjuru.

Presiden SAFA, Alijus Sipil (tengah) bersama dua Timbalannya, Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria selepas pemilihan pada Kongres Tahunan (Tahun 2018) Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) di Likas Square, Likas Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Hamid yang juga adik kepada Ketua Menteri Sabah mendapat undi tertinggi dengan 48 undi sekaligus beliau dilantik Timbalan Presiden 1, manakala Rahman dengan 27 undi mengisi jawatan Timbalan Presiden 2.

Jawatan kedua timbalan presiden ini kosong selepas perletakan jawatan penyandang Datuk Lawrence Gimbang baru-baru ini dan berikutan kematian Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan awal tahun ini.

Dua lagi calon bagi jawatan timbalan presiden, Datuk James Wong dan Fredoline Penggo masing-masing mendapat 12 dan 10 undi.

Dalam pertandingan merebut dua jawatan naib presiden, Datuk Juil Nuatim dan Mohd Ismail Ayob mendapat undi teratas dalam pemilihan antara lapan calon.

Presiden SAFA, Alijus Sipil bersama Timbalan Presiden SAFA, Hamid Apdal selepas pemilihan pada Kongres Tahunan (Tahun 2018) Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) di Likas Square, Likas Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Sementara itu, bagi dua jawatan ahli majlis tertinggi ianya dimenangi oleh Haji Fadli Juanas dan Jackson Taquah yang menyaksikan sembilan calon menawarkan diri.

Dalam ucapan beliau, Alijus berkata, mereka menggalas tanggungjawab yang amat berat dan berharap gabungan lama dan baru dalam jawatankuasa Safa ini akan menjadi yang terbaik.

Menurut beliau, tugas pertama sebagai Presiden Safa adalah mengambil kira semua rintihan daripada gabungan Safa daerah seperti permintaan geran tahunan bagi menjalankan program masing-masing.

Setelah kesemua jawatankuasa dalam Safa dibentuk, Alijus berkata mereka akan membuat kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memperkenalkan diri dan juga halatuju persatuan.

Presiden SAFA, Alijus Sipil (dua kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman (tengah) Turut kelihatan Timbalan Presiden SAFA, Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria selepas pemilihan pada Kongres Tahunan (Tahun 2018) Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) di Likas Square, Likas Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Beliau berkata, satu isu yang mahu tidak mahu mereka harus sampaikan kepada Ketua Menteri adalah mengenai kewangan.

“Kita juga akan menerangkan perancangan kita bagi menghadapi musim depan,” katanya, sambil menambah jawatankuasa Safa berwajah baru ini turut akan meminta nasihat serta pandangan dari Shafie dalam memajukan lagi mutu sukan bola sepak Sabah.

Presiden SAFA, Alijus Sipil bersama Timbalan Presiden SAFA, Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria selepas pemilihan pada Kongres Tahunan (Tahun 2018) Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) di Likas Square, Likas Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Alijus memberi jaminan sekiranya didapati tidak dapat menjalankan tugas presiden dengan baik beliau dengan relanya akan berundur tanpa harus menunggu pemilihan empat tahun lagi.

Sebelum itu, kongres tahunan Safa telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Poon Ming Fung @ Frankie yang mewakili Ketua Menteri.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan