Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,795

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ali Hamsa Puji Keberkesanan Perkhidmatan Agensi Awam Di UTC Kota Kinabalu

5:42pm 19/12/2015 Pak Roshan 75 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

utc

KOTA KINABALU : Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memuji kecekapan perkhidmatan yang disediakan lebih 40 agensi awam di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu yang diwujudkan kerajaan di bawah konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Ali yang meluangkan masa hampir satu jam dalam lawatan mengejutnya itu berkata rata-rata pelanggan yang ditemui berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan di situ.

“Saya dapati mana-mana jabatan yang saya pergi, perkhidmatan yang diberikan amat berkualiti tinggi dan pelanggan pula sangat puas hati, hampir semua pelanggan gembira dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya kepada pemberita di hujung lawatan itu di sini Sabtu.

Beliau turut meninjau perkhidmatan yang disediakan di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Biro Pengaduan Awam.

Turut sama melawat ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah.

Sebelum itu, Ali dan Sukarti mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Kawalselia Pulau Sipadan dan Ligitan.

Ali berkata walaupun mutu perkhidmatan yang disediakan agensi di UTC meningkat, beliau mahu orang awam terus memberi maklum balas agar penambahbaikan dapat dilakukan secara berterusan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Beliau berkata selepas Kota Kinabalu, dua lagi UTC mungkin akan dibina di Tawau dan Keningau.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan