Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aleppo : Surah Quraisy Mengajar Kita Bersatu Hati

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Sekarang isu peperangan di Aleppo, Syria menjadi bualan seluruh negara terutama negara kita Malaysia. Berderu-deru whatsApp group kita dengan berita-berita nasib rakyat di Aleppo dan tidak kurang juga memohon kepada semua untuk menyumbang dana bantuan.

Peperangan, pergolakan, penindasan, kekejaman yang berlaku di beberapa buah negara seperti Palestin, Syria, Myanmar, dan beberapa buah negara lain termasuk Turkey sendiri telah mengingatkan saya tentang satu ayat Al-Quran dimana Allah berkehendak untuk umat Islam perlu ‘BERSATU HATI’.

Mari saya tunjukkan.

Surah ini dinamakan dengan Surah Quraisy. Mungkin ramai sudah mengetahui akan surah ini malah ramai juga di antara kita yang sudah menghafalnya. Tinggal lagi adalah untuk kita memahami isi kandungan dan intipati daripada surah ini.

Sesungguhnya, surah ini dinamakan dengan سورة قريش iaitu satu kaum yang diutuskan kepada Rasulullah saw untuk disampaikan kepada mereka Al-Quran selama 13 tahun. Dan kita pun sudah sedia maklum bagaimana sikap mereka terhadap baginda Nabi saw.

Tetapi Allah telah merakamkan nama mereka di dalam satu surah yang khas yang diberikan kepada mereka.

Untuk tujuan apa?

Supaya kita belajar daripada sikap Quraisy.

Quraisy ni menjadi satu bangsa yang mulia dan nama mereka pun Quraisy. Para ulama membahaskan daripada mana datangnya nama Quraisy ni.

Antaranya yang disebut oleh ulama mufassirun, ia berasal daripada perkataan Qarash iaitu satu jenis binatang di laut yang sentiasa memakan ikan-ikan lain tetapi dia sendiri tidak boleh dimakan.

Maknanya dia merupakan ‘otai’ di laut.

Begitu juga Quraisy.

Mereka selalu berniaga dan mereka merupakan ‘otai’ di dalam bidang perniagaan sehinggakan Allah menyebut di dalam surah ini bahawa mereka dapat berniaga pada musim panas dan sejuk.

Allah swt berikan kepada mereka macam-macam nikmat tetapi adakah mereka bersyukur dengan nikmat-nikmat itu?

Quraisy diberikan nikmat kemerdekaan oleh Allah daripada musuh-musuh. Dan Allah beri kepada mereka nikmat kemajuan ekonomi. Namun, apa sikap mereka?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

” Karena kesenangan orang – orang Quraisy. (Iaitu) kesenangan mereka bepergian pada musim dingin dan musim panas. Maka hendaklah mereka menyembah Rabb Pemilik Rumah ini ( Ka’bah).
Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan. ” ( Quraisy : 1-4)

Kalau kita perhatikan ayat yang pertama. ” لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ ” .

Kalau kita nak faham dengan lebih lanjut ayat ini bermaksud “kerana إِيلَاف Quraisy. ” . ” إِيلَاف ” ni asalnya daripada perkataan ” الفة “(ulfah) yang bermaksud kelembutan.

Kalau kita belek tafsir Al-Azhar karangan Buya Hamka, ayat pertama ini, maksud yang cuba disampaikan adalah, telah berlaku sesuatu peristiwa yang telah menyebabkan Quraisy ini “BERSATU HATI “. Sebab ” الفة ” juga membentuk perkataan ” تأليف ” iaitu Kesatuan.

Sehingga hati mereka lembut untuk tidak bergaduh kerana sebuah peristiwa telah berlaku.  Apakah peristiwa itu?

Kalau kita perasan, sebelum سورة قريش adalah سورة الفيل.

Dimana Allah swt telah menyelamatkan Kaabah Baitullah, Quraisy dan penduduk Mekah daripada serangan tentera yang paling ganas yang menggunakan kenderaan yang paling digeruni pada waktu itu namanya Gajah dengan menghantar Burung Ababil.

Dengan persitiwa besar itu, nak beritahu bahawa Quraisy telah bergabung dan “BERSATU HATI”.

Dan ” إِيلَاف ” ini juga Allah nak beritahu Quraisy, sepatutnya kamu lembut hati wahai Quraisy untuk menyembah Allah swt.

Sepatutnya dengan nikmat keamanan ini, dengan nikmat kedaulatan ini, dengan peristiwa itu ramai orang selesa untuk datang berdagang ke Mekah kerana Allah pelihara Mekah daripada musuh-musuh Allah. Dan ini merupakan nikmat besar dari Allah kepada Quraisy.

Tetapi mengapa kamu tidak menyembah Allah malah menyembah selain dari Allah.

Begitu juga negara kita Malaysia.

Surah-surah di dalam Al-Quran ini turun untuk kita baca bukan sekadar untuk kita tahu apa cerita di dalamnya tetapi memahami surah itu dalam konteks semasa kita.

Kerana Al-Quran itu relevan sepanjang zaman.

Makanya Allah nak kita lihat kembali, nikmat keamanan yang Allah dah beri kepada kita iaitu Malaysia sehingga kita tiada masalah untuk bekerja dan mencari makan.

Tetapi apabila saudara islam kita ditindas, diperlakukan dengan begitu kejam, ada segelintir kita sekadar ambil endah tak endah.

Tahu tetapi buat-buat tak tahu.

“Ala nanti adalah orang lain yang bantu.”

“Tak apa, ramai dah yang membuat sumbangan tu nanti.”

Seolah-olah tiada nilai ihsan dalam diri kita terhadap saudara-saudara seislam kita di sana.

Maka itu, melalui سورة قريش ini, marilah kita belajar “BERSATU HATI” seperti mana Allah merakamkan nama Quraisy ini supaya kita belajar dari kaum Quraisy kerana mereka suatu masa dahulu telah ” BERSATU HATI” disebabkan telah berlaku suatu peristiwa besar iaitu Tentera Bergajah Abrahah Ingin Menyerang Kaabah.

Hari ini Umat Islam di Aleppo ditindas. Maka marilah kita semua “BERSATU HATI”.

Gunakanlah saluran apa sahaja sekalipun untuk membantu mereka.

Kalau tidak mampu menyumbang wang ringgit sekalipun tidak mengapa, tetapi sekurang-kurangnya marilah kita berdoa kepada  Allah supaya menurunkan pertolongan kepada mereka dan memberi nikmat keamanan kepada mereka seperti mana kita kecapi sekarang.

Sesunguhnya mereka yang telah pergi, telah mendahului kita. Seolah-olah pintu syurga terbuka luas di langit Aleppo menjemput mereka sebagai tetamu mulia Allah swt sebagai syahid.

Apakah pula nasib kita?

Semoga ada saham dari mereka untuk kita atas apa jua pengorbanan kita dari sini untuk mereka.

(Sumber: QuranicGen.com, oleh Noor Aiman)

Komen


Berita Berkaitan