Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Al-Qadr ; Malam Keagungan dan Penentuan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Dari sudut bahasa al-Qadr disebutkan sebagai maksud bagi sesesuatu yang mulia atau penghormatan sepertimana firman Allah s.w.t:

Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan (Qadr) yang sewajibnya diberikan kepadaNya. [Az-Zumar: 67]

Al-qadr juga disebutkan sebagai sesuatu yang disempitkankan oleh Allah yakni membawa maksud sesuatu yang disembunyikan oleh Allah daripada pengetahuan manusia sebagai firman-Nya:

dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya. [At-Talaq:7]

Selain itu, ia juga membawa maksud penentuan Allah akan sesuatu sepert ayat yang telah disebutkan:

Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan [penentuan] Kami. [Ad-dukhan:5]

 

 Kelebihan Umat Rasulullah

Umur umat akhir zaman ini lebih pendek jika hendak dibandingkan dengan umat-umat yang terdahulu. Allah maha Adil. Walaupun umur majoriti kita dewasa ini pendek, tetapi dengan sifat rahmat Allah, Allah mengurniakan tawaran-Nya kepada hamba-hamba. Tambahan lagi dalam bulan ramadhan di mana dikurniakan keluasan medium beramal dengan menawarkan malam yang disebut Al-Qadr seperti firman-Nya yang menjelaskan kelebihan malam ini:

“Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr;3)

1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan. Belum tentu lagi bagi umat ini untuk hidup selama tempoh ini. Namun, inilah kelebihan umat baginda. Ditentukan umur yang pendek, tetapi diganjarkan dengan kelebihan yang pelbagai dan berganda pula. Justeru itu, amat rugi mereka yang merugikan malam-malam akhir mereka ini dengan sekadar disibukkan persiapan berhari raya sedangkan amalan-amalan yang sering dilakukan di awal ramdhan itu ditinggalkan.
Penurunan Al-Quran

Berdasarkan ayat pertama surah Al-Qadr dikhabarkan kepada kita bahawa Al-Quran itu diturunkan pada malam yang agung itu secara terus dan sebab itu juga disebutkan bahawa ia mlam yang agung. Namun terdapat sedikit perbezaan kerana Al-Quran seperti mana yang kita ketahui turun secara beransur-ansur kepada nabi s.a.w.

Dalam perbahasan ini, sarjana ilmu Al-Quran menukilkan bahawa disebutkan turun secara terus pada satu malam itu adalah penurunan Al-Quran daripada Luh Mahfuz (tempat terkumpul ketentuan Allah) ke Baitul Izzah di langit dunia. Adapun turun beransur-ansur itu adalah pada dada rasulullah s.a.w. agar mudah difahami dan dilaksanakan oleh baginda dan para sahabatnya. Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat” (Ad-Dukhan:3)

Oleh itu, semarakkan juga malam-malam akhir ramdhan ini dengan bacaan Al-Quran, juga tadabbur akan ayat-ayatNya sebagai tanda menyambut ‘kelahiran’ Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada kita.

Penentuan Perjalanan Hidup

Dinamakan malam Al-Qadr juga kerana pada malam yang mulia ini juga segala ketentuan dalam kita menjalani kehidupan akan dicatatkan. Seperti yang disebutkan Allah dalam firman-Nya:

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)” (Al-Qadr:4)

Justeru itu, adalah lebih baik untuk kita sebagai hamba memohon doa agar Allah menetapkan apa yang terbaik untuk kita jalani baik untuk diri sendiri, mahupun orang lain dan juga agama kerana hakikat manusia itu bisa mengatur segala jalan kehidupan masing-masing, namun hakikatnya dia lebih mengetahui segala yang terbaik dalam kehidupan manusia.

Bila Malam Al-Qadr?

Para ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan pendapat bila berlakunya malam al-Qadr tersebut bahkan terdapat juga perbezaan dalam menyatakan sama ada malam tersebut sememangnya berlaku setiap tahun ataupun ia hanya berlaku sekali pada zaman nabi s.a.w dan ummat kini hanya memperingati malam tersebut.

Jumhur ulama’ menyatakan bahawa lailatul qadr itu berlaku hinggalah ke hari kiamat berdasarkan hadis baginda s.a.w:

Barangsiapa yang mendirikan malam al-qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira diampunkan dosanya yang telah lalu. [HR Bukhari]

Hadis ini menunjukkan galakan nabi s.a.w kepada ummatnya untuk mendirikan malam tersebut yang menunjukkan bahawa ia sememangnya berlaku pada setiap tahun. Adapun Imam Ibn Hajar berpendapat ia hanya berlaku sekali ketika zaman Nabi s.a.w. Manakala yang disebutkan malam al-Qadr pada zaman kemudia itu adalah tanda memperingati malam tersebut sepertimana ibadah-ibadah yang lain yang banyak ditaklifkan berdasarkan peristiwa-peristiwa yang lalu seperti korban, manasik haji dan lain-lain. Walaubagaimanapun fadhilat malam tersebut tidak dinafikan.

Menyebutkan tentang pendapat ulama’ dalam menentukan bila berlakunya malm tersebut. Disebutkan dalam dua hadis daripada Aisyah r.a:

“ carilah Lailatul qadr itu pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. (Muttafaq ‘alaih)

“ carilah lailatul qadr itu pada hari ganjil dari sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan. (HR Bukhari)

Berdasarkan hadis-hadis dia atas jumhur ulama’ menyatakan ia berlaku di antara salah satu malam berkenaan dan lebih kuat menyatakan pada malam ganjil dari bulan ramadhan. Ibn Abbas dan kebanyakan daripada sahabat menyebutkan bahawa ia adalah malam ke 27 Ramadhan. Manakala sebahagian mazhab Syafie berpendapat bahawa ia adalah malam ke-21 atau 23.

Penentuan tarikh bukan yang utama dalam perihal malam al-Qadr malahan bagi siapa yang menghidupkan setiap malam daripada bulan ramadhan terutama di akhirnya dengan izin Allah akan diganjari dengan ganjaran yang telah dijanjikan.

‘Iktikaf + Qiamullail

Malam itu seperti yang dijanjikan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru itu, seharusnya kita sebagai hamba pendosa yang mengharapkan rahmatNya, pengampunanNya dan pembebasan dariNya perlu merebut peluang ini dengan pelbagai amalan. Selain daripada bacaan Al-Quran dan berdoa, kita juga disunatkan untuk ber’iktikaf seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar:

“Rasulullah s.a.w selalu beri’tikaf pada sepuluh terakhir ramadhan. (Muttafaq ‘alaih)

‘Iktikaf atau mendampingi masjid ini amat digalakkan kerana Rasulullah sendiri melaksanakannya. Bahkan cara baginda beri’ktikaf disebutkan oleh para sarjana, baginda memasuki masjid pada sepuluh hari sebelum akhir ramadhan dan keluar setelah ramadhan berlalu.

Namun salah faham sering berlaku kerana ada yang berpendapat tidak boleh keluar langsung sewaktu masa i’ktikaf. Pandangan ini harus dinilai semula kerana saidina Umar r.a juga keluar dari masjid atas urusan pentadbiran negara. Maka, beri’ktikaf di masjid bukan bermakna mengetepikan langsung urusan dunia tetapi meminimakannya dengan fokus kepada ibadah pada Yang Esa.

Dalam beri’ktikaf pula kita digalakkan untuk berqiamullail (bangun malam) dengan menunaikan solat-solat sunat yang lain seperti tasbih, taubat, hajat dan sebagainya. Adapun kelebihan melakukan solat pada malam hari ini disebutkan dalam hadis baginda:

“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan dan solatlah pada waktu malam ketika umat manusia sedang tidur panjang maka kamu akan masuh syurga dengan aman”. (HR Tirmidzi, hasan sahih)

 

Perbaiki diri dan ajak orang lain

Dalam kita berusaha untuk mempertingkatkan amal ibadah khusus kita pada saat getir ini, jangan pula kita lupa untuk mengajak orang lain untuk turut serta. Lebih-lebih lagi ahli keluarga dan juga sanak saudara kerana Allah memerintahkan kepada kita untuk kita menjaga dan memelihara ahli keluarga kita daripada melakukan dosa. Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala) (At-Tahrim:6)

Begitu juga dalam ibadah yang ingin dilakukan pada malam-malam akhir ramadhan seperti yang telah Rasulullah buat kepada ahli keluarga baginda. Aisyah r.a ada meriwayatkan hadis perihal perilaku rasulullah:

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “apabila telah memasuki sepuluh hari terakhir Ramadhan, Rasulullah s.a.w akan menghidupkan malam dan membangunkan keluarganya, baginda bersungguh-sungguh dan menguatkan ikatan sarongnya. (Muttafaq ‘alaih)

Melihat kepada hadis ini selain baginda mengajak ahli keluarganya, tergambar juga kesungguhan baginda dalam melaksanakan ibadah dalam tempoh ini (akhir ramadhan) di mana baginda menguatkan ikatan sarongnya. Dalam menerangkan maksud ini ada ulama’ yang berpendapat bahawa Rasulullah tidak menggauli isterinya dan ada juga berpandangan baginda mengurangkan makanan. Adapun yang penting ia mempotretkan bahawa baginda mengerah keringatnya sehabis mungkin untuk tumpu beribadah kepada-Nya.

Manfaatkan Peluang Bertemu Al-Qadr

Jika kita berkunjung ke rumah sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu nescaya kita datang bersama buah tangan atau perkara yang dapat dijadikan ingatan. Begitu juga Al-Qadr yang seperti  diketahui datang hanya sekali dalam setahun. Justeru ‘buah tangan’ yang paling sesuai untuk kita sertakan bersama kunjungan  pada malam itu disebutkan dalam hadis daripada Aisyah r.a:

“Aku bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, beritahulah saya sekiranya saya mendapati malam lailatul qadr itu apakah yang harus saya ucapkan di dalamnya? Baginda bersada”: Katakanlah:

اللّهمّ إنّك عفوّ كريم تحبّ العفو فاعف عنّي

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.”[HR Tirmidzi]

Hadis ini dinilai daif oleh sebahagian ulama’ hadis muktabar. Pun begitu manfaat lafaz hadis ini boleh diamalkan dengan menjauhkan ia dinisbahkan kepada rasululllah s.a.w. Walaubagaimanapun merujuk lafaz  di atas digunakan perkataan عفوّ tetapi tidak menggunakan perkataan غفور. Apakah perbezaan bagi keduanya?

عفوّ: Allah menghapuskan dosa-dosa kita secara serta merta dan memelihara kita daripada melakukan dosa

غفور: Allah hanya menutupi dosa-dosa yang telah dilakukan tetapi tidak mendedahkannya dan tidak pula menghukum atas dosa tersebut dan akan diampunkan pada hari akhirat kelak.

Hadis sandaran atas hujah ini sebagaimana yang disebutkan oleh Abdullah Ibnu Umar dalam hadis Qudsi:

“Sesungguhnya Aku (Allah) merahsiakannya (dosa-dosa) ke atas kamu di dunia dan mengampunkannya pada hari ini (saat memberi kitab amalan)”. (HR Bukhari)

Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa kedua-dua sifat yang mulia ini sebenarnya membawa maksud pengampunan. Bezanya diampun secara langusung atau ditangguhkan keampunan dengan memberi ruang untuk manusia bertaubat. Selain itu, sambungan hadis ini juga menyatakan bahawa Allah tidak mengampunkan orang yang munafiq dan orang yang lari dari medan jihad kecuali dengan sebenar-benar taubat.

Namun dalam menerangkan kepada kita kaedah berdoa di malam Al-Qadr, rasulullah menyebutkan perkataan عفوّ yang memberi isyarat kepada kita bahawa pengampunan Allah senantiasa menanti buat hamba-Nya yang berusaha meminta. Justeru, relevankah malam-malam akhir ramadhan ini dibiar berlalu pergi tanpa ada sebarang pengisian iman?

Ayuh gandakan amalan!

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Muhammad Uzair bin Izham)

Komen


Berita Berkaitan