Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,752

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Al-Kahfi: Pembentukan Pemuda Menjauhi Budaya Hedonisme

5:11pm 06/01/2016 Zakir Sayang Sabah 33 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Dewasa kini budaya hedonisme semakin berleluasa dalam masyarakat kita. Saat manusia lain ditimpa musibah dan kecelakaan, masih saja lagi sebahagian golongan yang bukan saja tidak mengambil erti dan iktibar bahkan berterusan dengan agenda kemaksiatan. Sememangnya sesuatu peristiwa yang berlaku itu kadang-kadang tiada kaitan langsung dengan kehidupan kita.

Tetapi bagi manusia yang mempunyai  hati tambah lagi yang beriman akan beranggapan segala yang Allah beri berupa nikmat itu walaupun untuk orang lain adalah untuk kita bersyukur dan apa yang Dia beri berupa ujian dan musibah meskipun bukan pada diri kita adalah untuk kita ambil pengajaran dan renungan kerana mungkin itu suatu peringatan buat diri kita yang masih lagi diberi kesempatan nyawa dan masa.

Malangnya, sesetengah pihak masih tidakmengendahkan peringatan ini. Lebih mengecewakan ia terdiri daripada golongan pemuda yang mana disandarkan kepada mereka harapan untuk negara ini. Harapan untuk agama yang suci.

Justeru, bagaimanakah fenomena ini bisa diperbaiki?

Apakah ciri-ciri mahasiswa yang dikehendaki untuk kebaikan bagi setiap generasi?

Apakah ada contoh efisen yang bisa diteladani untuk membangunkan generasi dewasa ini?

 

Pemuda-pemuda pemelihara iman

Mungkin sebahagian daripada kita biasa melazimi pembacaan surah al-Kahfi pada pagi hari Jumaat. Namun menjadi satu kerugian jika kita tidak cuba mendekati al-Quran dengan lebih mendalam dengan berusaha membaca kisah-kisah yang terdapat dalamnya terutama kisah pemuda-pemuda al-Kahfi yang teruji iman mereka. Pun begitu mereka tetap dengan pendirian bahawa Allah sahaja Tuhan yang Esa.

Allah s.w.t berfirman:

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? [al-Kahfi:9]

Terdapat pelbagai riwayat yang menyebutkan tentan Ar-Raqim dalam ayat di atas. Sebahagian mufassirin (ahli tafsir) menyatakan ia adalah nama bukit tersebut dan terdapat padanya al-kahf yakni gua. Ada berpendapat bahawa ia adalah batu yang mana terukir nama-nama pemuda yang soleh ini. Namun apa yang lebih penting ayat ini menggambarkan kekuasaan Allah dan bukti bahawasanya Dia mampu mencipta apa sahaja lebih lagi hanya menghidupkan semula barang yang sedia ada.

Ayat ini juga sebenarnya memberi sindiran kepada manusia yang hanya beriman dengan keajaiban. Apabila sesuatu perkara yang berlaku diluar akal manusia, baru hendak memenuhi iman dalam dada. Walhal jika manusia melihat penciptaan langit dan bumi atau lihat pada diri kita sendiri sudah banyak bukti kekuasaan Allah s.w.t. Tapi tabiat manusia itu sememangnya begitu bahkan lebih dahsyat adalah mereka yang melihat keajaiban namun masih tidak mahu beriman. Seumpama yahudi yang melihat terbelahnya laut merah namun hanya beriman dalam tempoh seketika. Kemudian berbalik semula kepada kepercayaan asal mereka mensyirikkan Allah dengan berhala.

Berbalik kepada kisah pemuda-pemuda ini, mungkin ada dalam kalangan kita tertanya-tanya mengapakah pemuda-pemuda ini menyembunyikan diri ke dalam gua?

Tidakkah mereka patut berusaha menyebarkan dakwah kepada masyarakat sekeliling?

Di sini, ada pengajaran yang bisa kita teladan. Tidak dinafikan semangat orang muda dalam membuat banyak perkara sama ada berkaitan dengan dakwah, organisasi persatuan amat memberangsangkan. Tetapi semangat ini perlulah selari dengan kerelevanan suasana, tempat dan masa yang betul.

Ketika itu, pemuda al-Kahfi membuat pilihan terbaik untuk kepentingan dakwah dan kelangsungan iman mereka menepati tiga aspek di atas (suasana,tempat,masa).Mereka tidak lari dari realiti kerana ketika itu raja yang memerintah negara tersebut sering bertindak zalim terutama mereka yang beriman kepada Allah.Tambahan, rakyatnya memberi sokongan yang baik atas usaha raja tersebut.

Oleh sebab itu, dicelah kerosakan yang mana tidak sesuai di dalamnya penyebaran dakwah ditambah tiada golongan berilmu yang memberi sokongan untuk mendidik masyarakat, maka menyembunyikan diri buat mereka jalan yang terbaik kerana dikhuatiri mereka juga akan tergoda dengan rayuan orang sekeliling sejurus memutuskan rantai keimanan generasi tersebut kepada Allah.

Realiti hari ini, menyembunyikan diri tidak lagi sesuai ditambah ditengah-tengah masyarakat yang dahagakan didikan (tarbiyah) yang sempurna.Namun, berjaga-jaga dan menilai sesuatu perkara itu perlu dilakukan  supaya konsep kerahsiaan yang jika diketahui umum lebih membahayakan. Pada nilaian setiap aspek yang betul itu perlu diambil pengajaran agar usaha kita tidak hanya sekerat Cuma akibat halangan dari mana-mana pihak tetapi bisa memberi impak yang terbaik kepada masyarakat.

 

Pemuda-pemuda pilihan

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.[al-Kahfi:10]

Dalam ayat di atas disebutkan perkataan yang mengkhususkan kepada ‘pemuda’ yang merujuk kepada tahap umur mereka pada ketika itu.Apa yang menariknya, dalam lembaran sejarah begitu sinonim dikaitkan bahawa pemuda merupakan golongan yang sering bersungguh dan memberi sokongan yang hebat terhadap penyebaran dakwah islam hinggakan pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda memerintahkan untuk berbuat baik pada golongan ini (pemuda) bertepatan dengan bantuan yang mereka hulurkan dari sudut harta, tenaga bahkan nyawa.

Tetapi tidak bermakna golongan pemuda ini tiada kesilapan bahkan mungkin lebih banyak disebabkan kurangnya pengalaman dan kurang berhati-hati dalam melaksanakan tugasan. Maka benar prasa kata yang menggambarkan kestabilan antara generasi muda dan orang-orang lama iaitu “Hikmah orang tua pada kesungguhan para pemuda”.Orang-orang lama kaya dengan pengalaman, orang muda kaya dengan tenaga dan buah fikiran yang mengimbangi perjalanan sesuatu urusan disamping dapat memelihara kesinambungan perkara positif yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu.

Tambahan pula, golongan muda terbiasa dengan idea baru dan corak pergerakan yang baru berbanding golongan lama yang lebih suka static dengan pegangan yang lama.Mungkin disebabkan itu, mereka (golongan pemerintah ketika itu) sukar menerima dakwah pemuda-pemuda ini (ashabul kahfi) dan akhirnya Allah memilih golongan pemuda sebagai penjaga agama-Nya ketika itu.

Suatu perkara yang penting dalam ayat ini adalah keazaman para pemuda ini untuk tetap teguh beriman dan akhirnya meletakkan tawakkal sebagai penyempurnaan urusan.Contoh ini sangat baik diambil iktibar bahawa, keimanan yang utuh yang membawa manusia itu berjaya ditambah dengan bekal tawakkal  yang memandu segala usaha itu beroleh petunjuk.

 

Ciri-ciri pemuda kahfi yang perlu dicontohi

Pada mereka ini (pemuda al-kahfi) ada contoh teladan yang baik boleh kita ikuti. Namun, lebih menarik ia dikaitkan dalam konteks realiti mahasiswa kerana mempunyai persamaan dari sudut peringkat umur. Bahkan ia adalah ciri utama mereka terpilih sebagai golongan istimewa yang terlakar dalam kitab-Nya. Allah merakamkan ciri-ciri mereka dalam ayat al-Quran seperti firman-Nya:

sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.{13} Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) {14} [al-kahfi:13-14]

 

  1. Memilih untuk beriman

Hakikat kehidupan adalah suatu pilihan.Pada setiap sedutan dan hela nafas manusia, kita diberi peluang membuat pilihan.Jalan kebaikan atau keburukan. Memilih beriman tidak sama dengan beriman kerana ia sebuah pilihan. Pada saat iman teruji, suasana pula menentang, ditambah kekangan dari kuasa yang lebih kuat (raja), namun jiwa pemuda-pemuda ini tiada gentar untuk memilih Allah dan Rasul sebagai pedoman.

Kata kunci yang dapat kita jadikan iktibar di sini adalah pilihan, semestinya yang mendatangkan kebaikan. Dalam membuat keputusan apa sekalipun perlu kita nilai dengan telus dari segenap aspek. Jangan gopoh kerna jiwa remaja terbiasa untuk cepat dalam menimbang banyak perkara.Pilihan yang terbaik adalah apa yang syara’ kata baik dan sebaliknya.

Berkenaan dengan pilihan juga ia bukan sekadar satu perbuatan statik tanpa ada perkembangan. Pilihan perlu selari dengan tujuan dan perbuatan. Pemuda al-Kahfi memilih untuk beriman dan mereka cuba laksanakan perubahan dan akhirnya berserah kepada  Allah untuk menentukan kesudahan. Justeru itu, perlu kita fokus dalam buat pilihan dengan berhenti beralasan, sebaliknya ada plan tambahan untuk perlaksanaan jika berlaku gangguan atau kekurangan.

 

2.   Pergantungan kepada Allah punca diberi hidayah

 

Apa yang manusia rasa baik belum tentu sebenarnya ia baik pada diri mereka. Begitu sebaliknya. Hakikatnya Allah s.w.t  sahaja yang Maha Mengetahui segalanya. Berhenti beralasan dan terus membuat pilihan sebagai langkah pertama perubahan namun mesti terikat dalam kerangka yang Allah redha. Selalu mahasiswa hanya bertawakkal dalam bab perkahwinan, peperiksaan dan apa yang dekat dan memberi manfaat masa pendek kita sahaja, tetapi meninggalkan aspek yang lebih penting iaitu keimanan.

Ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu iman kita sempurna.
ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu kita mati dalam keadaan demikian.

Jika setiap perbuatan kita bersandarkan kepada Allah tambahan pula dalam bab yang baik dengan niat ikhlas membantu agama Allah, dengan izinNya segala gerak kerja kita terlaksana di bawah naungan Allah. Lihat ketika peperangan Badar. Saat baginda s.a.w dan para sahabat buat pertama kalinya akan menentang musuh dalam pertempuran yang besar sudah tentu ada secubit rasa gelisah dalam hati. Namun, dengan doa yang berterusan dan keyakinan yang kuat dengan janji Allah akhirnya mereka berjaya.

Iman dan hidayah mempunyai kaitan yang cukup kuat dan rapat. Orang yang beriman tidak mesti dia mendapat hidayah terus di atas kebenaran. Sebab itu, hari ini kita melihat ramai orang mengaku beriman tetapi belum tentu kehidupan sehariannya berpandukan keimanan yang jelas. Tetapi orang yang diberi hidayah dengan izin Allah, akan sentiasa menjaga keimanannya seperti mana contoh kebanyakan mereka yang baru kembali kepada fitrah islam (muallaf) yang sangat bersungguh dalam memahami agama bahkan yang paling aktif menyebarkannya.

 

3.     Membulatkan tekad setelah jantung hati terikat

 

Was-was adalah permainan syaitan. Dalam hal dunia sahaja manusia bisa ragu-ragu tambahan dalam bab aqidah dan ibadah serta perihal yang ghaib berkaitan dosa dan pahala. Sebab itu, kita lihat generasi hari ini rosak disebabkan sikap ragu terhadap kebenaran yang dijanjikan Allah sama ada dalam bentuk ganjaran atau peringatan dengan azab seksaan.

Demikian, jika kita membuat pilihan yang menepati syara’ dengan keazaman yang tinggi dan matlamat yang jelas serta menaruh harapan sepenuhnya usaha kita kepada Allah, nescaya Dia akan berikan kepada kita petunjuk dan naunganNya disamping membulatkan tekad kita untuk menyempurnakan amalan kita hingga balik bertemuNya.

Pembulatan tekad setelah iman mengisi jiwa, hidayah memandu langkah manusia merupakan perkara yang sangat penting kerana belum tentu orang yang beriman dan mendapat hidayah itu Allah ikat hati-hati mereka untuk bukan sahaja melakukan kebaikan bahkan menyebarkan kerana ayat al-Quran [18: 19-20] selepas itu menjelaskan bahawa mereka bangkit untuk menegakkan kalimah Allah (kebenaran) tanpa rasa ragu dan gentar.

Tambahan lagi, yang paling utama dengan pilihan kita itu, moga-moga Allah bimbing kita untuk merasai  nikmat kejayaan Islam seperti yang telah dijanjikanNya sebagaimana yang ditunjukkan kepada pemuda Al-Kahfi setelah sekian lama ditidurkan. Atau lebih baik, Allah kurniakan kepada kita nikmat tegolongan dalam golongan yang membantu agamaNya menjadi pemuda al-Kahfi untuk abad ini.

 

Kesimpulan: Jauhi Kelalaian yang melenakan

Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni ada menyebutkan beberapa halangan yang menyebabkan remaja terutamanya sukar untuk melakukan perubahan. Antaranya:

  1. Mengetepikan orang yang berilmu dalam kalangan ulama’ khususnya atau golongan professional dengan lebih mengagungkan idola-idola yang melalaikan.
  2. Menjauhi tempat pengajian dan masjid serta lebih utamakan hiburan
  3. Berlebihan dalam bermain dan terlalu teruja meminati sukan
  4. Suka berteriak dan saling mencela serta bertutur dengan bahasa kasar
  5. Menjadi supporter fanatic dan mudah terpengaruh

 

Ayuh para pemuda kita muhasabah semula.Memang muda hanya sekali.Begitu juga mati. Bahkan mati tidak kenal usia atau keadaan bersedia, ia datang bila-bila masa. Selain itu, generasi akan datang juga dicorakkan oleh pemuda. Baik pemudanya baiklah generasi seterusnya.

Mulakan langkah perubahan!

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Muhammad Uzair bin Izham)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan