Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Akui kekuatan PBS tanding semula di Penampang, tiada niat perkecil UPKO: John Ambrose

KOTA KINABALU – Bukan berniat memperkecil-kecilkan kemampuan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO) untuk merampas kembali kerusi Parlimen Penampang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose menjelaskan beliau, hanya memberi pandangan ikhlas berhubung senario dan landskap politik Sabah yang sedikit berubah selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau berpendapat, Parti Bersatu Sabah (PBS) mempunyai kekuatan tersendiri dan diyakini dapat membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi-kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak cakap UPKO tidak kuat tetapi pada pandangan saya PBS mempunyai sedikit kelebihan untuk bertanding di Penampang. Melihat keadaan politik pada pilihan raya umum ke-11 dan 12 yang lepas, BN menang mudah dengan siapa sahaja calon. Tetapi berdasarkan pemerhatian saya ketika ini, populasi pengundi Cina lebih 40 peratus dan bumiputera lebih 50 peratus.

“Oleh itu saya lebih suka kalau PBS diberikan peluang mewakili kerusi Parlimen Penampang dan DUN Moyog akan datang kerana PBS mempunyai pemimpin kuat daripada masyarakat Cina,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sukan Karnival Dwi-Tahunan Kementerian Kewangan bersama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan Kesembilan, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Ambrose yang juga Pengerusi Yayasan Bumiputera Sabah, berkata, kegagalan bekas Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok mempertahankan kerusi itu membuka mata kepada BN mencari pendekatan lain untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN.

“Kita mesti fikir mengenai BN secara keseluruhannya, PRU yang lepas adalah ibu kepada segala pilihan raya tetapi kita kalah, pada pilihan raya akan datang, bapa kepada segala pilihan raya dan harus meletakkan calon yang terbaik untuk mewakili BN.

“Kita tidak boleh katakan kerusi itu milik mereka untuk selamanya…lagipun Penampang adalah kubu kuat PBS sebelum ini dan patut diberikan peluang untuk memenanginya semula,” ujarnya sambil menambah beliau tidak menyuarakan perkara itu pada mesyuarat di Penampang sebelum ini kerana beliau tahu keputusan itu ditentukan oleh BN Pusat dan bukan BN Penampang.

Walau bagaimanapun secara peribadi, beliau menegaskan akan kekal dengan pendirian bahawa kerusi Penampang perlu diberikan kepada PBS. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan