Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aku Telah Mempersiakan Ramadhan, Bagaimana?

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ketika artikel ini ditulis, Ramadhan sudah berada di penghujungnya. Hari-hari terakhir. Bagi orang-orang yang beriman dan memahami akan besarnya makna Ramadhan, hatinya akan dicuit sayu. Pasti memikirkan apakah Allah masih sudi memberikannya Ramadhan pada tahun yang mendatang? Apakah amalannya sepanjang Ramadhan diterima oleh Allah SWT? Apakah dia beroleh Lailatul Qadr? Apakah cukup amalannya sepanjang Ramadhan kali ini?

Namun ada pula manusia yang langsung tidak peduli. Ramadhan tak Ramadhan, sama sahaja. Ada juga yang tak peduli kerana dirinya sudah seratus peratus dibaluti semangat Hari Raya.

Tetapi ada pula satu golongan ini. Golongan yang tersedar di penghujung Ramadhan.

“Ah, Ramadhan dah nak berakhir? Apa yang sudah aku lakukan? Ya Allah, aku telah mempersia-siakan Ramadhan.”

Dengan penuh penyesalan dan hiba, jiwanya diserang kerisauan. Mengabaikan Ramadhan bukan perkara yang kecil. Ramadhan ialah hadiah yang besar daripada Allah SWT. Hatinya terjentik rasa serba salah dan malu yang teramat, sambil jiwanya diserang rasa takut.

“Apakah masih ada harapan untuk diri seperti diriku ini?”

Dia bertanya. Sedang Ramadhan bergerak pergi meninggalkannya.

Hargai Rasa Penyesalan Dengan Cara Yang Betul

Apabila saya bertanya berkenaan seorang pendosa yang jatuh ke lembah dosa, bangkit bertaubat, kemudian tersungkur semula, kemudian dia bangun dan bertaubat lagi, dan proses ini berulang berkali-kali, almarhum Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain menjawab bahawa rasa nak bertaubat yang ada pada pendosa tersebut, hingga membuatkannya sanggup bangkit bertaubat walau berkali-kali tersungkur, ialah satu perasaan yang positif.

Hadith yang masyhur, hadith pembunuh 100 orang, tatkala dia telah membunuh 100 orang, alim yang ditemuinya tidak sedikit pun menyatakan kepadanya bahawa harapan telah tiada. Bahkan Alim itu memberitahu kepada pembunuh tersebut bahawa sang pembunuh masih boleh bertaubat, ampunan Allah itu seluas langit dan bumi.

Lantas, begitulah juga kita perlu melihat diri yang telah tersedar bahawasanya dia telah mempersiakan Ramadhan. Tersedar itu bagus. Perasaan yang positif. Tanda hati masih hidup. Rasa menyesal kerana telah mempersiakan Ramadhan itu tandanya jiwa kita masih sensitif, alhamdulillah Maha Kasih Allah SWT yang masih sudi menyuntik rasa penyesalan dalam diri kita.

Cumanya, jangan biarkan syaitan memenangi penyesalan kita. Jangan biarkan penyesalan kita mematikan rasa hendak bangkit dan menjadi baik.

Hargai rasa penyesalan dengan cara yang betul.

Apakah caranya?

Bangkit bertaubat dan bergerak menghargai apa yang masih ada buat kita.

Jika Ramadhan masih tinggal sehari, semalam, atau beberapa jam. Hargai. Isi dengan amalan terutama dengan doa dan pengharapan. Dengan istighfar, taubat dan memohon ampunan. Sesungguhnya tiada istilah terlambat dalam bertaubat dan berubah ke arah kebaikan.

Jika kita telah terlepas Ramadhan, bagaimana?

Ketahuilah bahawa sesungguhnya barangsiapa yang menyembah Ramadhan, Ramadhan akan berakhir dan mungkin tidak akan kembali. Namun bersyukurlah kerana tuhan kita bukan Ramadhan, Tuhan kita ialah Allah SWT. Dia wujud setiap masa untuk kita mendekati!

 

Allah Di Dalam Ramadhan, Allah Yang Sama Di Luar Ramadhan

Ramadhan ialah anugerah dan hadiah Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman. Di dalam Ramadhan ada pelbagai kelebihan dan keutamaan yang Allah SWT sediakan sebagai kelebihan bagi mereka yang mahu menghargai.

Namun Ramadhan bukan satu-satunya medan beramal dalam sepanjang kehidupan insan. Jangan sesekali sisipkan di dalam minda kita bahawa, jika kita teruji dengan kelalaian dan kealpaan, dengan kejahilan dan ketidak pedulian, hingga membuatkan kita mengabaikan Ramadhan, maka kita sudah langsung tiada harapan di sisi Allah SWT. Ini mentaliti yang sangat silap.

Sedang Allah SWT itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dia bukan berada di dalam Ramadhan sahaja. Allah SWT wujud setiap masa untuk kita. Jika kita telah mempersiakan Ramadhan, jangan pula kita mempersiakan 11 bulan yang lainnya.

Selagi masih hidup, selagi itu sebenarnya ruang untuk mendapat pengampunan Allah, menambah kebaikan dan pahala, dibuka seluas-luasnya.

Jangan berputus asa!

Allah masih ada untuk kita walaupun Ramadhan sudah berlalu pergi.

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar ayat 53.

Moga-moga, dengan kita tidak berputus asa sekarang, Allah izinkan kita benar-benar dapat menghargai dan memanfaatkan pula Ramadhan yang akan datang.

 

Memanfaatkan Ramadhan Perlu Kepada Pembinaan Diri

Ramadhan ini ibarat sebuah kejohanan sukan. Dalam kejohanan sukan, kala ia berlangsung, kita tak sempat nak buat latihan. Jika baru nak berlatih, memang kita akan gagal pada kejohanan tersebut. Begitulah Ramadhan. Persediaannya sebenarnya berlaku awal sebelum datangnya Ramadhan. Semasa Ramadhan, kita nak gunakan hasil latihan kita untuk melaksanakan yang terbaik sepanjang Ramadhan, membolot semua kelebihan dan anugerah yang Allah SWT sediakan di dalamnya.

Maka jika kita sudah tersedar kali ini bahawa kita telah mempersiakan Ramadhan, jangan rasa harapan sudah tiada. Tiada siapa tahu kita akan mati bila, dan sesungguhnya umur dan ajal kita adalah hak milik Allah SWT sepenuhnya. Maka bangkitlah dengan kesedaran dan penyesalan yang benar, hargailah apa yang ada, kemudian ambil lah masa 11 bulan mendatang untuk membentuk diri menjadi hamba Allah SWT yang terbaik. InsyaAllah, jika Allah SWT masih sudi mengurniakan kita Ramadhan akan datang, kita pasti sudah lebih bersedia dan mampu untuk memanfaatkannya dengan prestasi yang terbaik.

Pokok pangkalnya, jangan berputus asa dan rasa disisihkan oleh Allah SWT hanya kerana kita tersedar bila Ramadhan telah hendak berakhir atau sudah berakhir.

Selagi hidup masih berjalan, selagi itu Allah SWT masih membuka pintu pengampunan.

Selagi masa masih ada, selagi itu Allah SWT membuka peluang untuk kita menambah pahala.

Maka jangan dipersiakan. Jangan sangka buruk dengan Allah SWT.

Hargai ke’tersedar’an kita, penyesalan kita dengan menjadikan itu semua satu daya untuk kita berubah menjadi yang lebih baik.

Selagi kita belum mati, kita masih berpeluang sebenarnya.

Ayuh!

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Komen


Berita Berkaitan