Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aku Lebih Baik Daripadanya – Iblis

Gambar Hiasan

 

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah”. Surah al-A’raf 7 : 12.

 

Anda semua masih ingat dengan kisah satu makhluk Allah yang tidak mahu sujud kepada Adam pada satu ketika dahulu?

 

Apabila membaca sahaja ayat di atas sudah pasti kita dapat meneka apakah makhluk yang dimaksudkan. Ya betul! Makhluk tersebut adalah Iblis.

 

Para ulama semua setuju bahawa setelah Adam diciptakan dengan sempurna, Allah telah memerintahkan kepada para malaikat dan makhluk yang ada untuk sujud. Tetapi bukanlah sujud ibadah sebab tidak ada yang patut disembah melainkan Allah SWT.

 

Tujuan sujud adalah sebagai tanda penghormatan dan pemuliaan kepada Adam dan keturunannya.

 

Lalu  para malaikat semua bersujud kecuali Iblis yang merupakan daripada bangsa jin. Jadi dalam ayat di atas Allah SWT telah tanya kepada Iblis, “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Lalu Iblis memberi alasan, “Aku lebih baik daripadanya”.

 

Iblis salah sangka

 

Menurut Dr. Wahbah Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa Iblis menolak terhadap perintah Allah untuk sujud kepada Adam adalah kerana sombong. Dia menyangka bahawa dia lebih mulia daripada Adam kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Adam dicipta daripada tanah.

 

Iblis menyangka bahawa api itu lebih mulia daripada tanah kerana api ringan dan boleh naik tinggi ke atas.

 

Api juga merupakan bahan yang boleh menyala.

 

Berbeza dengan tanah yang mempunyai ciri tetap, padam dan layu.

 

Jadi Iblis pun menganggap bahawa tidak mungkin dia akan mengagungkan sesuatu yang berada di bawahnya.

 

Sedangkan sangkaannya itu meleset jauh sekali. Sebenarnya tanah digambarkan di dalamnya sesuatu yang tenang dan diam, anggun dan santai, lembut, malu dan sabar.

 

Buktinya ialah Adam bertaubat, tawaduk dan merendahkan diri setelah melakukan dosa kepada Allah SWT. Manakala api pula merupakan alat menyeksa makhluk-makluk yang ingkar kepada Allah SWT.

 

Oleh itu, ini menjadi bukti bahawa sebenarnya tanah yang lebih mulia daripada api.

 

 

Manusia juga salah sangka

 

Pada hari ini juga ramai di kalangan kita yang salah sangka. Kita sangka bahawa apabila kita memiliki harta yang banyak, memegang jawatan besar, memiliki pengaruh yang ramai, menaiki kereta  besar, duduk di rumah yang mewah dan sebagainya, maka kita akan merasa “Aku lebih baik daripadanya”.

 

Aku lebih baik daripada kawan aku sebab aku ada 5 buah bisnes. Kawan aku tu makan gaji sahaja.

 

Aku lebih baik daripada jiran sebelah sebab aku pakai kereta Honda. Jiran aku pakai kereta Myvi sahaja.

 

Aku lebih baik daripada kawan sebab aku mengajar sekolah menengah. Kawan aku tu mengajar kat sekolah rendah sahaja.

 

Aku lebih baik daripada orang lain sebab aku mempunyai anak yang bijak dan cantik. Orang lain itu anaknya dah la tak pandai, comot pulak tu.

 

Aku lebih baik daripada imam kat surau rumah aku itu, sebab aku belajar dengan ulama-ulama yang hebat kat luar negara. Imam surau tu belajar kat pondok sahaja.

 

Sebenarnya itu hanyalah sangkaan kita semata-mata. Adakah kita lupa bahawa segala yang ada pada diri kita ini merupakan kurniaan Allah SWT.

 

Adakah kita mahu mengikuti jejak langkah Iblis?

 

Bahaya sombong

 

Tidak masuk syurga seseorang yang di hatinya terdapat kesombongan sebesar buah zarah. HR. Bukhari.

 

Nabi berpesan kepada kita, sifat sombong yang ada dalam diri kita akan menyebabkan kita terhalang daripada masuk ke dalam syurga. Sebab sombong menjadikan kita orang yang tidak berakhlak mulia.

 

Sombong menjadikan kita orang yang mementingkan diri, tinggi diri, khianat, panas baran, dengki, tidak dapat menerima nasihat, suka merendah-rendahkan orang lain dan selalu bercakap tentang keburukan orang lain dan sebagainya.

 

Maka sia-sialah amalan kita selama ini. Sebab itu kita tidak boleh beramal secara semberono.

 

Jika kita perhtaikan sifat sombong ini tidak hanya berlaku kepada orang yang jahat sahaja. Malah sifat ini berlaku kepada semua orang sama ada baik atau jahat. Ukurannya ialah apabila kita rasa mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain.

 

Jika kita adalah orang yang berilmu, kita akan menganggap orang lain sebagai orang yang bodoh. Lalu kita menganggap bahawa pendapat kita sahaja yang betul, manakala pendapat orang lain semuanya salah.

 

Jika kita orang yang rajin pergi masjid, kita akan rasa kitalah orang yang paling alim di tempat kita. Jadi kita mengharap supaya orang lain akan memuliakan kita. Jika berjumpa kita mengharap supaya orang lain yang akan memulakan perbualan dahulu, yang akan memberi salam dahulu dan sebagainya.

 

Jika kita memiliki keturunan yang baik dan berada, kita akan rasa tidak selesa apabila ada orang yang cuba mendekatkan diri kerana menganggap orang itu tidak setaraf dengan keturunan kita.

 

3 bahagian sombong

 

Pertama, sombong kepada Allah SWT. Sejarah menunjukkan bahawa ada manusia yang berani mengaku sebagai tuhan seperti Raja Firaun, Raja Namrud dan sebagainya. Malah ini merupakan sombong yang paling buruk.

 

Kedua, sombong kepada para rasul. Mereka rasa diri merekalah yang layak untuk menjadi rasul kerana mempunyai kelebihan dari segi material. Sedangkan rasul-rasul yang dipilih oleh Allah ini hanyalah manusia biasa dan tidak memiliki apa-apa harta.

 

Ketiga, sombong kepada manusia. Mereka rasa diri mereka mulia dan menganggap orang lain itu hina, sentiasa mahu berada di atas orang lain, dan suka meremehkan dan merendahkan orang lain.

 

Kesimpulan

 

Sebenarnya sangkaan “Aku lebih baik daripadanya” merupakan satu penyakit hati yang perlu kita jauhi. Penyakit ini akan menyerang kepada orang yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu.

 

Firman Allah SWT:

 

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Surah al-Alaq 96 : 6-7.

 

Oleh sebab itu antara perkara yang boleh kita lakukan bagi merawat penyakit ini adalah pertama, sentiasa muhasabah diri bahawa kelebihan yang kita dapat ini merupakan kurniaan Allah SWT. Kita cuba tadabbur sekiranya Allah menarik kembali nikmat-nikmat tersebut bagaimana?

 

Kedua, bergaul dengan orang-orang miskin kerana dapat membantu mendidik jiwa kita merasai kesusahan orang lain.

 

Ketiga, menziarahi orang sakit dan orang-orang yang terkena bencana. Mudah-mudahan perkara ini akan mendorong kita menyerah diri kepada Allah SWT dan mengamalkan sikap tawaduk.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Hakim Darno)

Komen


Berita Berkaitan