Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aktiviti turun padang sempena Ramadan pendekatan terbaik dekati rakyat: Musa

turun padang

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata aktiviti turun padang sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak adalah merupakan satu pendekatan terbaik kerana memberikan kesempatan untuk mendekati rakyat akar umbi apatah lagi bagi golongan yang memerlukan perhatian.

Menurut beliau, turun padang amat ditekankan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana dari situ apa jua permasalahan yang wujud dapat dikenal pasti sekali gus membuktikan kesungguhan parti untuk membela nasib sesiapa saja tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata, setiap pemimpin akar umbi khususnya mereka yang berada di peringkat bahagian Umno telah pun disaran agar memperhebatkan program sepanjang bulan yang penuh keberkatan bagi mengerat tali silaturrahim sedia terjalin.

Katanya, usaha murni ini perlu menjadi kemestian kerana rakyat adalah segala-galanya tambahan lagi di bulan mulia yang sudah pasti memberikan ganjaran pahala kepada ummah apabila saling memperkukuhkan hubungan yang harmoni.

“Inilah tradisi kita di dalam parti Umno sebaik tibanya bulan Ramadan program turun padang akan dijalankan ke seluruh kawasan yang bukan hanya memberikan peluang untuk kita beramah-mesra tetapi paling penting sekali bantuan dapat dihulurkan kepada golongan yang amat memerlukan.

“Sebab itu, saya telah meminta kepada pemimpin Umno di bahagian masing-masing supaya turun padang kerana inilah masanya bagi kita membuktikan betapa bersungguhnya pihak kerajaan membantu rakyat selaras dengan dasar dan agenda BN yang sentiasa mendahulukan kepentingan semua kaum.

“Kita bukannya hanya timbul bila tibanya sesuatu pilihan raya namun usaha mendekati rakyat dijalankan sepanjang masa. Matlamat kita adalah bagi memberikan pembelaan kepada semua agar arus pembangunan itu, dinikmati secara sama rata.

“Saya terharu dan gembira melihat kegembiraan yang terpancar di wajah para hadirin yang menerima sumbangan ikhlas yang seadanya sempena Ramadan ini. Dengan bantuan berkenaan sekurang-kurangnya meringankan beban sedikit untuk berbuka puasa,” jelasnya.

Musa menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan di Surau As-Salam, Kg Sungai Obar Tinusa 1, Jalan Lapangan Terbang, Batu 7, dekat sini, kelmarin.

Seramai 810 orang penerima yang terdiri dari golongan fakir miskin, warga emas, balu, ibu tunggal dan anak-anak yatim menerima bantuan berbentuk sumbangan sempena Ramadan.

Penerima datangnya dari sembilan buah cawangan Umno Zon Airport termasuk juga 150 daripada jumlah berkenaan yang merupakan pelajar-pelajar pondok Pasantren di kawasan sekitar.

Mengulas lanjut, Musa yang juga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga memberitahu sejumlah besar peruntukan telah dibelanjakan bagi membangunkan kawasan Libaran.

Antaranya, kata beliau, membina pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur seperti membina dan menaiktaraf jalanraya termasuk pembinaan dewan, masjid serta surau.

Ujarnya, bantuan dari segi inisiatif untuk membantu rakyat turut menjadi tumpuan apabila kebajikan melibatkan masyarakat yang memerlukan perhatian telah dapat diatasi secara berperingkat.

“Justeru, rakyat perlu bersatu padu dan mengelak sebarang pertelagahan kerana perbuatan ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan sebaliknya kerugian kerana ia tidak baik kepada kerajaan yang prihatin seperti BN.

“Di bulan yang penuh keberkatan ini marilah kita mengukuhkan silaturrahim agar perpaduan yang wujud terus kekal sekali gus memudahkan kerajaan untuk menyalurkan pelbagai bentuk pembangunan demi manfaat bersama,” ujarnya.

Dalam majlis yang berasingan di Masjid Al-Fajr, Taman Fajar, Batu 7 pula Ketua Menteri mengingatkan umat Islam agar bersatu padu dan menjalankan ibadah berpuasa dengan penuh ketaqwaan.

Katanya, amalan yang murni ketika berpuasa akan memberikan ganjaran pahala sebaik-baiknya dan secara tidak langsung membawa kesejahteraan hidup kepada ummah sekalian.

“Bulan yang penuh barakah ini perlu dimanfaatkan untuk kita lebih meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Sebarang perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dielakkan kerana ia tidak akan apa-apa makna.

“Saya kecewa jika berlakunya pergeseran sedangkan agama menuntut kita supaya bersatu demi kemajuan agama Islam. Jadikanlah bulan Ramadan untuk mengukuhkan ukhuwah sesama sendiri bagi manfaat generasi akan datang,” tegas Ketua Umno Libaran ini.

Pada majlis tersebut, seramai 920 orang penerima turut mendapat bantuan sama yang mana 600 penerima daripada cawangan Umno Batu Putih manakala selebihnya dari kawasan Taman Fajar, Taman Airport dan Taman Bahagia.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Pengarah JASA Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir.James Wong serta Timbalan Presiden MPS, Haji Mohd Hamsan Awang Supain.

Komen


Berita Berkaitan