Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Aktiviti turun padang seawal Bulan Ramadan beri kesan baik, kata Musa

musa turun padang

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman melahirkan rasa syukur aktiviti turun padang yang dijalankan seawal Bulan Ramadan al-Mubarak terutama melibatkan kawasan Daerah Mengundi Libaran memberi peluang kepadanya untuk berjumpa dan beramah-mesra dengan penduduk setempat.

Menurut beliau, perjumpaan itu memberikan kesan yang baik kepada kerajaan kerana bukan sahaja mempererat tali silaturrahim malahan masyarakat turut menerima pelbagai bantuan sempena bulan penuh berkat ini.

Beliau berkata, aktiviti yang sudah menjadi tradisi kepada pihaknya setiap kali menjelangnya bulan puasa akan diteruskan kerana ia salah satu wadah yang membantu usaha memperkukuhkan hubungan perpaduan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Katanya, secara tidak langsung usaha-usaha murni seumpama ini akan menambahkan keyakinan rakyat apabila pemimpinnya bertanggungjawab dalam memikul amanah semata-mata untuk kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Hari ini, merupakan program terakhir bersempena Ramadan apabila saya berpeluang melawat kawasan Libaran termasuk daerah mengundi yang membolehkan saya berjumpa dan beramah-mesra sekali gus mempererat tali silaturrahim sesama ummah.

“Sambil menghulurkan sedikit bantuan untuk meringankan beban golongan yang kurang kemampuan, saya juga telah berpeluang dengan menasihatkan penduduk kampung berkaitan aspek keselamatan di tempat masing-masing selain menekankan perpaduan dan juga berkaitan harga barang.

Musa berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan kepada Ahli Jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ketua-ketua Cawangan dan Perwakilan, Pengerusi JKKK / JKDB, Ketua Kampung dan Kakitangan UPPM Sungai Sibuga, Gum-Gum serta Parlimen Libaran di Dewan Serbaguna Sri Libaran, dekat sini, petang kelmarin.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Hajah Armani Mahiruddin; Pengarah JASA Negeri, Haji Abdul Manap Lakariba dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Haji Mohd Hamsan Awang Supain serta pemimpin- pemimpin masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Ketua Menteri yang juga Adun Sungai Sibuga turut mengalu-alukan komitmen syarikat berkaitan kerajaan atau GLC yang tampil bersama-sama untuk membantu masyarakat di bulan penuh berkat.

Menurutnya, keprihatinan GLC sedikit sebanyak membantu meringankan beban masyarakat kurang kemampuan dalam mengerjakan ibadah puasa selain meraikan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Petronas, Kastam, Sawit Kinabalu, Yayasan Sabah dan sebagainya atas keikhlasan untuk sama-sama tampil membantu anggota masyarakat dalam bulan Ramadan.

“Ini jelas membuktikan keprihatinan mereka dalam memanfaatkan tanggungjawab sosial apabila masyarakat tanpa mengira latar belakang sekali pun telah terbela menerusi bantuan yang disalurkan.

Pada majlis berkenaan, Musa yang juga Ketua Umno Libaran telah menyampaikan bantuan Ramadan kepada kira-kira 250 orang penerima yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Umno Libaran termasuk tiga sayap penting dan juga para pemimpin masyarakat Libaran.

Dalam program yang berasingan di Masjid Nurul Syakirin, Taman Indah Jaya, Batu 4 pada sebelah pagi di mana Musa telah menyampaikan sumbangan zakat dan sekampit beras kepada 644 orang penerima yang terdiri daripada pelbagai kategori.

Penerima berkenaan datangnya dari Ladang Happy, Kg Sinar Baru 2 Batu 12 dan Kg Kenangan Manis yang terletak dalam kawasan Parlimen Libaran.

 

Komen


Berita Berkaitan